Home Politik BN akan kekalkan kuasa pada PRU14 – Md Shukri

BN akan kekalkan kuasa pada PRU14 – Md Shukri

by Air Times News Network

GEORGETOWN, 30 Mac – BN dijangka mengekalkan kuasa seterusnya membentuk kerajaan di peringkat persekutuan pada PRU14 nanti.

Pemerhati politik, Md Shukri Shuib berkata, ia kerana tiada lagi cabaran kuat daripada pembangkang yang boleh diyakini menjadi kerajaan.

“Dengan pergolakan yang ada pada pembangkang termasuk dengan keluarnya Pas dari PR serta terbubarnya tahaluf siyasi dengan DAP, bermaksud mungkin pembangkang akan hilang 25 peratus undi popular yang mereka dapat pada PRU13.

“Saya katakan demikian kerana dulu antara penyumbang terbesar kepada kemenangan kerusi dalam PR adalah disebabkan kuatnya jentera kempen, gerak kerja dan akar umbi daripada Pas.

“Tanpa Pas, mungkin 25 peratus undi popular yang diperoleh pembangkang akan hilang. Dalam konteks ini, kita lihat pembangkang berisiko untuk hilang lebih banyak kerusi terutamanya PKR,” katanya.

Menurutnya, DAP akan menjadi sebuah parti yang paling selamat kerana tiada lagi trend perubahan secara besar-besaran daripada pengundi Cina.

“Tetap sekiranya berlaku peralihan pengundi Cina, maka DAP juga akan kehilangan mungkin 30 hingga 50 kerusi yang ada,” katanya.

Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) itu berkata, tanpa Pas, Pakatan Harapan ibarat orang yang mengalami strok sebelah badan.

“Pas adalah penyumbang kepada kekuatan dari segi jentera akar umbi.

“Sebenarnya kita lihat dalam Harapan ini yang paling dominan adalah DAP. Yang paling akan banyak hilang peranannya adalah PKR dan wujudnya Bersatu serta Amanah tidak akan beri kesan besar kepada Harapan,” katanya.

Jelasnya, BN dilihat mampu menang besar pada PRU14 sekiranya meletakkan calon bersesuaian dan disenangi masyarakat setempat.

“Kebangkitan BN dalam PRU14 ini nilainya akan lebih dilihat pada kredibiliti calon sekiranya Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN berjaya mengemukakan calon berwibawa dan sesuai.

“Usah pedulikan soal ketua bahagian yang nak sabotaj calon, usah pedulikan rungutan sesetengah pemimpin bahagian kerana kita melihat apa yang perlu diutamakan ialah keperluan rakyat.

“Sekiranya rakyat dan kebanyakan jentera menyokong calon dikemukakan parti, maka ia akan mudahkan kemenangan BN nanti,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply