Home Semasa Cubaan pindah dana secara haram keluar Bank Negara Malaysia berjaya dipatahkan

Cubaan pindah dana secara haram keluar Bank Negara Malaysia berjaya dipatahkan

by M.Daim

Kuala Lumpur, 29 Mac – Bank Negara Malaysia hari ini mengeluarkan kenyataan bahawa institusi itu menjadi sasaran serangan siber. Walaupun begitu, serangan tersebut berjaya digagalkan.

Menurut Bank Negara,  insiden tersebut berlaku pada 27 Mac lalu. Bank Negara Malaysia telah berjaya mengesan dan menangkis satu insiden keselamatan siber yang melibatkan percubaan untuk memindahkan dana secara haram menggunakan sistem mesej SWIFT palsu.

Kesemua transaksi yang cuba dijalankan telah berjaya disekat menerusi tindakan pantas Bank Negara Malaysia (Bank) dengan kerjasama SWIFT, bank-bank pusat dan institusi kewangan lain.

Pihak Bank Negara tidak mengalami apa-apa kerugian kewangan berikutan insiden ini. Malah, sistem pembayaran dan penyelesaian lain yang dikendalikan Bank juga tidak terjejas sama sekali.

Pihak Bank Negara sedang menjalankan siasatan secara terperinci mengenai insiden ini dengan mendapat kerjasama agensi penguatkuasaan tempatan dan antarabangsa.

Kenyataan media tersebut turut memaklumkan bahawa semua langkah kawalan risiko yang ada setakat ini sangat berkesan untuk menghalang insiden seumpama itu daripada berulang. Walau bagaimanapun, Bank Negara tetap mengambil langkah-langkah keselamatan tambahan untuk melindungi pihak berkepentingan. Bank juga akan terus berada dalam keadaan berjaga-jaga dan senantiasa bersiap sedia, kerana insiden pada masa hadapan mungkin melibatkan perancangan dan pendekatan yang lebih canggih.

Pada masa yang sama, pihak Bank Negara turut menasihatkan kesemua institusi kewangan di negara ini senantiasa berwaspada dalam menghadapi risiko keselamatan siber dan terus mengukuhkan sistem keselamatan masing-masing bagi menghadapi ancaman pencerobohan seperti ini.

Bank ingin meyakinkan orang ramai bahawa sistem pembayaran dan penyelesaian kita kekal tidak terjejas dan terus beroperasi dalam keadaan baik dan selamat.

Related Articles

Leave a Reply