Home Semasa Bekas anggota tentera di penjara 197 tahun enam bulan dan 79 sebatan

Bekas anggota tentera di penjara 197 tahun enam bulan dan 79 sebatan

by Noor Sheila Amin

Melaka, 29 Mac –  Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin menjatuhkan hukuman terhadap  bekas anggota tentera berpangkat koperal  Musa Md Dawi, 28, dihukum penjara 197 tahun enam bulan dan 79 sebatan oleh Mahkamah Sesyen, selepas tertuduh mengaku bersalah pada Selasa lalu atas 79 tuduhan menyalahguna harta Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK) di Sungai Udang bernilai lebih RM50,000, dua tahun lalu.ATM

Mengikut pertuduhan pertama hingga 79, tertuduh didakwa menyalahguna harta bukan miliknya, iaitu elaun perjalanan dan cuti tahun PULPAK membabitkan nilai RM50,238.10 dengan membuat 43 baucar bayaran atas 79 penama yang kononnya anggota tentera bertugas di PULPAK Sungai Udang, sekitar 25 April 2016 hingga 1 Julai 2016.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di Pejabat Belanjawan PULPAK, Kem Sungai Udang di sini dan dia didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, sebatan dan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irwanshah Abdul Samat, memohon hukuman berat dan setimpal dikenakan kerana tertuduh seorang penjawat awam yang diamanahkan tanggungjawab menjaga kebajikan tentera, selain turut ingkar arahan mahkamah apabila tidak hadir perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dikenakan dengan alasan menanggung isteri dan ibu bapa selain tidak lagi berkhidmat dalam tentera.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan, namun memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula hari ini.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang bertugas sebagai kerani gaji di Bahagian Sel Belanjawan PULPAK bertanggungjawab menguruskan permohonan tuntutan tugas rasmi dan cuti tahun anggota tentera di situ, selain mengendalikan baucar bayaran dalam Sistem Perancangan Kawalan Belanjawan Elektronik (eSPKB) Kerajaan Malaysia.

Pada April hingga Julai 2016, tertuduh didakwa dengan curang menyalahguna harta bukan miliknya iaitu elaun perjalanan dan cuti tahun PULPAK dengan mewujudkan baucar atas 79 penama. Tertuduh juga memasukkan RM46,281.10 ke dalam dua akaun bank miliknya, manakala baki RM3,957 ke akaun dua individu lain, dengan tertuduh mempunyai kawalan ke atas akaun itu.

Hasil semakan Jabatan Rekod dan Pencen, Markas Tentera Malaysia ke atas 79 penama dalam 43 baucar bayaran yang dibuat tertuduh, mendapati 58 penama tidak wujud, tiga sudah pencen dan 18 penama yang wujud menafikan pernah membuat tuntutan elaun berkenaan.

 

Related Articles

Leave a Reply