Home PolitikPakatan Harapan Pelik, dulu masa memerintah boleh, sekarang bantah?: Hamidah Osman

Pelik, dulu masa memerintah boleh, sekarang bantah?: Hamidah Osman

by Nurulhuda

Kuala Lumpur, 29 Mac -Bekas Naib Presiden PPBM, Datuk Hamidah Osman berkata, beliau berasa aneh apabila Pengerusi dan Presiden PPBM itu begitu lantang membantah usul laporan kajian semula persempadanan pilihan raya sedangkan sebelum ini mereka tidak pernah mempunyai masalah dengan amalan tersebut.

“Malah, ketika Dr. Mahathir berkhidmat sebagai Perdana Menteri, tiga kali kajian semula persempadanan pilihan raya dibuat.

“Mengapa baru sekarang mereka nak bantah?” soalnya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Menurut portal The Malaysian Insight, Dr. Mahathir turut mengatakan usul persempadanan semula kawasan pilihan raya merupakan satu bentuk kezaliman oleh kerajaan Barisan Nasional.

Malah, kehadiran Muhyiddin ke perhimpunan Bersih 6 di Jalan Parlimen semalam menimbulkan tanda tanya, adakah Ahli Parlimen Pagoh itu lebih berminat menyertai demonstrasi jalanan berbanding menggunakan ruang di Dewan Rakyat sebagai seorang Ahli Parlimen?

Dalam hal ini, Hamidah berpendapat, Muhyiddin sepatutnya menggunakan platform sebagai Ahli Parlimen untuk membahaskan usul laporan kajian semula persempadanan pilihan raya, bukan mencari publisiti dengan turun berdemonstrasi bersama mereka yang dikecamnya dahulu.

Menurut beliau, Muhyiddin perlu mengutamakan tugasnya sebagai Ahli Parlimen yang mendapat mandat daripada rakyat untuk menyampaikan suara mereka di Dewan Rakyat.

“Kalau betul beliau (Muhyiddin) mahu membantah usul persempadanan semula itu, gunakanlah peluang bersuara di Dewan Rakyat.

“Langkah tersebut lebih efektif berbanding turun berdemonstrasi di jalanan,” katanya

Dalam rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kajian semula persempadanan pilihan raya telah dilakukan sebanyak enam kali.

Mengikut amalan lazim negara yang mengamalkan sistem demokrasi, kajian semula ini akan dilakukan secara berkala dalam tempoh-tempoh tertentu berdasarkan faktor pertambahan dan perubahan pergerakan penduduk.

Namun, kajian semula persempadanan yang dilakukan kali ini mendapat bantahan besar-besaran daripada DAP dan sekutunya, termasuklah dua orang pemimpin tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang pernah menjadi ‘orang kuat’ kerajaan.

Related Articles

Leave a Reply