KUALA LUMPUR, 28 Mac – Bersih 2.0 hari ini meneruskan mengadakan perhimpunan ‘Rakyat Tolak Penipuan SPR’ di Tugu Negara dan luar bangunan Parlimen bagi menolak cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam isu persempadanan semula bahagian pilihan raya.
Timbalan Pengerusi Bersih 2.0 Shahrul Aman Mohd Saari berkata objektif perhimpunan ini tercapai, tetapi perjuangan masih belum selesai.
“Kami sudah pantau kerja-kerja SPR daripada awal sampai ke hujung ini, ada lagi yang kita sentiasa nampak ketirisan dalam isu melanggar hak rakyat.
“Macam dalam kes hari ini, langgar perlembagaan kerana ada kes mahkamah tetapi masih diteruskan dengan laporan yang belum siap. Menurutnya seperti kem-kem tentera yang belum disiapkan lagi namun sudah ada pengundi”, katanya.
Shahrul berkata SPR kali pertama dan terakhir berjumpa dengan Bersih pada tahun 2010 dan selepas itu seolah-olah tidak mengendahkan suara rakyat.
“Bersih merupakan suara rakyat, meluahkan isi hati rakyat tentang pilihanraya yang adil”, ujar beliau.
Perhimpunan dianjurkan Bersih 2.0 itu diadakan bagi menyerahkan memorandum bantahan berkaitan cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya.
Memorandum berkenaan diserahkan kepada wakil Yang Dipertua Dewan Rakyat, Jaafar bin Mat Zin , di pintu pagar Parlimen oleh Timbalan Pengerusi Bersih 2.0 Shahrul Aman Mohd Saari.