Home PolitikBarisan Nasional Wakil rakyat PAS Temerloh gagal: Azril Rizal

Wakil rakyat PAS Temerloh gagal: Azril Rizal

by Nurulhuda

Temerloh, 14 Mac-Ahli Parlimen Temerloh dari PAS, Nasrudin Hassan dilihat gagal menunaikan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dan jarang kelihatan di kawasan termasuk membantu orang ramai di kawasan calon tersebut. Ketua Pemuda UMMO Temerloh, Azril Rizal Yusof Mohd Sarit, menyatakan ada rungutan daripada rakyat di kawasan itu terhadap Ahli Parlimennya yang jarang berada di kawasan walaupun sudah diberi amanah pada PRU-13.

Tambahnya, tindakan itu jelas merugikan pengundi dan peranan membantu rakyat sebaliknya dipikul UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang memberikan perkhidmatan sejak sekian lama tanpa mengira perbezaan idealogi politik.

“Difahamkan beliau kini sedang mencari kerusi selamat di kawasan lain untuk PRU-14, rakyat harus menjadikannya sebagai iktibar dalam membuat pemilihan dan BN harus menjadi pilihan utama kerana terbukti berjaya membela nasib rakyat.

“Jadi peluang BN merampas semula Parlimen Temerloh daripada pembangkang agak cerah atas faktor kegagalan wakil rakyatnya memberikan perkhidmatan terbaik.

“Malah BN juga berpeluang menang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Semantan serta Mentakab yang turut diwakili pembangkang selain mengekalkan kerusi DUN Lanchang, sasaran untuk menang 4-0 sebenarnya ada,” katanya ketika dihubungi NSTP di sini, hari ini.

Pada PRU-13, Nasrudin memenangi kerusi Parlimen Temerloh selepas menewaskan calon BN, Datuk Saifuddin Abdullah yang kini menyertai PKR dengan majoriti 1,070 undi. BN menang di kerusi DUN Lanchang menerusi Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Shakar Shamsuddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Temerloh, manakala DUN Mentakab dimenangi wakil DAP, Tengku Zulpuri Shah Raja Puri.

DUN Kuala Semantan pula dimenangi wakil PAS, Syed Hamid Syed Mohamed yang kini menyertai Parti Amanah Negara (PAN). Mengulas lanjut, Azril Rizal Yusof berkata, bancian dilakukan Pemuda UMNO Temerloh mendapati golongan muda di Parlimen itu yang kebanyakkannya terdiri daripada pengundi atas pagar menaruh keyakinan dan harapan terhadap kerajaan dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Pemuda UMNO Temerloh sudah lama mendekati golongan muda dengan menganjurkan pelbagai program dan aktiviti kemasyarakatan mampu menyentuh jiwa rakyat bermula dari sukan, ziarah kasih, pendidikan, ekonomi, keusahawanan serta santai kedai kopi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang akan terus kekal menjadi ‘jeneral perang’ bagi mereka dalam menghadapi PRU-14.

Related Articles

Leave a Reply