Home Semasa Air Selangor: Kerja pembaikan di loji siap petang ini

Air Selangor: Kerja pembaikan di loji siap petang ini

by M.Daim

Shah Alam, 8 Mac – Pihak Pengurusan Air Selangor menyatakan bahawa bekalan air dijadualkan akan mula pulih pada Sabtu ini. Dalam Kenyataan Akhbar oleh Zaidy Abdul Talib, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, EXCO Kerajaan Negeri Selangor, memaklumkan tempoh masa pemulihan bekalan air adalah sekitar Sabtu dan Ahad. Pemulihan ini dilakukan secara berperingkat setelah kerja-kerja pembaikan di Loji Rawatan Air SSP3 yang dijadualkan akan selesai pada petang ini.

Bekalan air di Kuala Langat dan Hulu Selangor akan mula pulih sepenuhnya pada 6 pagi hari Sabtu manakala bekalan air untuk kawasan Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumour, Kuala Langat dan Hulu Selangor pula dijadualkan pulih pada 6 petang hari Ahad.

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor semalam mengarahkan pihak Pengurusan Air Selangor untuk mengambil tindakan perlu dan membantu Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) bagi mempercepatkan segala kerja-kerja pembaikan dan memendekkan masa gangguan bekalan air kepada pengguna di beberapa kawasan di Kuala Lumpur dan Selangor.

Pihak Pengurusan Air Selangor telah membantu SPLASH dengan menawarkan senarai kontraktor pilihan bagi SPLASH untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan bermula semalam.

Bagi menyegerakan pemulihan bekalan air di Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Kuala Langat dan Hulu Selangor, kerja-kerja pembaikan kecemasan Sistem Mampatan Udara (Surge Vessel System) di Loji SSP3 telah pun berjalan bermula semalam. Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Ahli Majlis Mesyuarat Negeri, kerja-kerja pembaikan dijangka akan siap pada sekita jam 6 petang hari ini.

Kerja-kerja pembaikan kritikal di Loji Rawatan Air SSP3 yang bermula pada 6 Mac lalu dijalankan bagi membaiki kerosakan injab Pam No. 3. Kerja pembaikan tersebut dikendalikan oleh SPLASH setelah mendapat kelulusan dari pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Masalah kerosakan injab Pam No.3 telah dikesan oleh Pengurusan Air Selangor apabila mendapati berlaku Penyusutan Paras Kolam Imbangan Bukit Tadun pada 26 Januari lalu. Penyusutan paras kolam telah menyebakan pengurangan kadar pengempaman (pumping rate) air bersih dari Loji SSP3 yang dikendalikan oleh SPLASH.

Namun begitu, pihak Pengurusan Air Selangor telah cuba untuk berjumpa dengan pihak pengurusan Loji bagi mendapatkan maklumbalas tetapi tidak berjaya dan laporan telah dibuat kepada pihak SPAN.

Siasatan oleh pihak SPAN pada 5 Februari 2018 mendapati 4 unit pam air bersih tidak berfungsi dan mengalami kerosakan.

Bagi membantu pengguna yang terjejas, Pengurusan Air Selangor telah mengaktifkan 9 Pusat Khidmat Setempat dan menambah jumlah kapasiti tanker kepada 96 buah dan 11 buah lori Tangki Jumbo.

Selain daripada itu, Pengurusan Air Selangor telah mendapat bantuan dari pihak berkuasa tempatan dan rakan-rakan operator air dari Negeri Sembilan, Perak, Johor, Pulau Pinang, Melaka, Kelantan, Kedah, Pahang, dan Terengganu.

 

Related Articles

Leave a Reply