Home Pertahanan dan Keselamatan ATM, Angkatan Tentera Vietnam kongsi mekanisme kepakaran dan pengetahuan

ATM, Angkatan Tentera Vietnam kongsi mekanisme kepakaran dan pengetahuan

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 6 Mac – Angakatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Tentera Vietnam (VTA) bersetuju untuk berkongsi mekanisme kepakaran dan pengetahuan bagi menangani sebarang ancaman yang mungkin berlaku termasuk peperangan.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata, Vietnam mempunyai pengalaman yang luas dalam menangani peperangan dan kelebihan itu boleh dimanfaatkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Sesungguhnya adalah penting untuk kita belajar dan memahami bagaimana negara berkenaan menghadapi peperangan kerana ia akan membantu kita memperkayakan pengetahuan sedia ada,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Tahun Baharu Cina peringkat ATM, di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Mohd. Johari Baharum; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Raja Mohamed Affandi sebelum itu menerima kunjungan hormat rakan sejawatannya dari Vietnam merangkap Timbalan Menteri Pertahanan, Phan Van Gang sempena mesyuarat dua hari kedua-dua pihak.

Beliau menambah, kerjasama itu termasuk menghantar pelatih ke Vietnam bagi menjalani latihan ketenteraan, menghadiri kursus, pertukaran anggota dan pengendalian pesawat.

Menurutnya, Malaysia dan Vietnam berkongsi banyak persamaan seperti penggunaan pesawat yang sama, peralatan dan pengurusan.

Selain itu katanya, antara mekanisme lain yang diperbincangkan adalah kaedah untuk mengukuhkan hubungan kedua-dua negara menerusi kerjasama ketenteraan.

“Saya berharap mesyuarat dua hari ini akan berjalan baik dengan perkongsian yang bermanfaat buat kedua-dua negara.

“Sebenarnya hubungan kedua-dua negara sememangnya sudah terjalin sekian lama, cuma ia tidak begitu kuat dan tidak formal,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai persiapan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) yang dijadualkan berlangsung pada bulan depan, Raja Mohamed Affandi berkata, setakat ini semuanya berjalan seperti dirancang.

“Kita yakin DSA kali ini lebih besar dan meriah berbanding tahun-tahun sebelum ini,” katanya.

 

Related Articles

Leave a Reply