KLUANG, 24 Feb – Umno Bahagian Sembrong tidak gusar sekiranya Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu bertanding di parlimen berkenaan pada PRU14 nanti.
Ketua Wanita Umno Bahagian Sembrong, Datuk Noraslina Zainal Abidin berkata, pucuk kepimpinan Umno Sembrong yakin rakyat di parlimen tersebut bijak membuat pilihan dan tidak sewenang-wenangnya memilih bekas perdana menteri itu untuk menang dalam pilihan raya.
Jelasnya, sepanjang Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein menjadi Ahli Parlimen Sembrong, pelbagai usaha telah dilaksanakan yang meliputi pelbagai aspek semata-mata untuk rakyat.
“Siapa Tun M tu? Walaupun ianya hanya ura-ura untuk bertanding di Johor namun tiada sebarang jasa yang dibuat di sini khususnya di Sembrong.
“Kita di peringkat Umno Sembrong telah lama bergerak untuk rakyat, tapi Tun M datang hanya mahu memporak-perandakan keadaan.
“Kita pun sudah tahu kenapa Tun M mahu bertanding di Kedah kerana orang di sana sudah tolak Tun M serta anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
Pada 20 Februari lalu, laporan sebuah portal berita menyebut kenyataan Tun M, beliau boleh berbanding di mana sekalipun yang beliau mahu dan yakin mampu menang di mana di tempat yang ditandinginya.
Justeru itu, tular di media sosial Tun M akan bertanding di Parlimen Pekan menentang Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.
Tidak terkecuali juga beberapa parlimen lain yang diwakili nama-nama besar menteri disebut termasuk tiga kerusi parlimen di Johor iaitu Sembrong (P153), Sri Gading (P149) dan Pontian (P164).
Dalam pada itu, Noraslina berkata, khabar angin itu disifatkan sebagai polemik pilihan raya semata-mata berikutan Tun M dikatakan tidak tetap pendirian untuk bertanding ketika PRU nanti.
Jelasnya, sehingga kini setiap kali kunjungannya tiada apa yang dibawa Tun M untuk rakyat dan hanya kata-kata kosong semata-mata.
“Ianya tidak seperti pemimpin BN yang sentiasa membawa sesuatu pembaharuan dan kemajuan untuk keselesaan rakyat.
“Bagaimanapun, kami di Sembrong tidak kisah siapa yang mahu bertanding di sini kerana kami sudah jalankan gerak kerja dekati rakyat sejak dahulu,” katanya.