Home Pertahanan dan Keselamatan UKMHK’18: Trup TD1 Juara Keseluruhan Terbaik

UKMHK’18: Trup TD1 Juara Keseluruhan Terbaik

by M.Daim

Daya kepimpinan seseorang ketua pasukan dan juga setiakawan sesama anggota pasukan adalah antara aspek yang diuji dalam pertandingan ini. Foto: Air Times News Network.

Kuala Lumpur, 24 Feb – Pertandingan Ujian Kemahiran Merentas Halangan dan Kawad (UKMHK) 2018 melabuhkan tirainya pada semalam setelah berlangsung semenjak 19 Februari lalu. Sorakan dan sokongan memenuhi Kem Perdana, Sungai Besi oleh anggota Tentera Darat yang hadir menyaksikan pertandingan tersebut pada hari terakhir.

Panglima Tentera Darat, Tan Sri Zulkiple Kassim hadir menyaksikan pertandingan ini.

Ujian tahunan ini diadakan bagi membina ketahanan mental dan fizikal, keyakinan diri dan juga berpasukan. Selain daripada itu, UKMHK turut menjadi platform untuk emupuk disiplin serta perpaduan di kalangan individu dan kumpulan.

Aspek pemerintahan dan kawalan anggota turut diuji terutamanya dalam keadaan yang mencabar di mana daya ketahanan fizikal setiap peserta diuji semaksimum yang mungkin.

Pertandingan ini turut mendedahkan anggota terhadap daya ikhtiar dan inisiatif sendiri bagi mengatasi dan merentasi pelbagai halangan. Selain daripada itu, pertandingan ini turut bertujuan untuk meningkatkan keupayaan menembak sesuai dengan situasi simulasi perperangan.

BAGUS! Itulah satu isyarat yang disampaikan oleh salah seorang peserta pertandingan. Walaupun diasak dari segi fizikal dan mental, semangat juang yang tinggi adalah antara kayu pengukur kepada keupayaan pasukan yang menyertai pertandingan ini. Foto: Air Times News Network.

 

Pertandingan ini bukan sahaja menguji kekuatan fizikal dan mental tetapi turut menguji keupayaan seorang pemimpin pasukan untuk memberikan arahan dan semangat kepada anak buah dalam satu situasi yang mencabar. Foto: Air Times News Network

 

Tidak akan menyerah! Walaupun ketahanan fizikal dan mental diuji, semangat juang untuk menang dan mengakhiri pusingan antara faktor penggerak seseorang peserta untuk terus berjuang dalam pertandingan ini. Foto: Air Times News Network.

Cuaca hujan sebelum pertandingan menambahkan kesukaran halangan kepada peserta. Tetapi, mereka tetap bersemangat untuk berjuang.

 

Pusingan rentas halangan turut melibatkan ujian menembak pada setiap peserta. Foto: Air Times News Network.

Penyertaan dan Fasa Pertandingan

Seramai 10 orang pergawai dan 880 anggota lain-lain pangkat dari 10 formasi dari seluruh negara telah terlibat dalam pertandingan tahunan yang berlangsung selama 5 hari di Kem Perdana.

Ujian Berkawad adalah medan ujian kekemasan dan kelengkapan pakaian serta senjata. Selain daripada itu, prestasi ketua perbarisan dalam memberikan arahan dan hukuman turut dinilai.

Fasa halangan merupakan antara cabaran yang perlu dihadapi oleh setiap peserta. Foto: Air Times News Network.

Ujian Merentas Halangan pula merangkumi empat peringkat ujian iaitu pemeriksaan awal bagi menentukan peserta mematuhi keperluan ujian dan membawa peralatan, kelengkapan dan pakaian yang betul. Kemudian, peserta diuji dengan larian merentas pelbagai halangan dan kemudiannya menembak sasaran pada jarak 25 meter.

Peringkat terakhir pula melibatkan pemeriksaan akhir pakaian, kelengkapan dan peralatan yang dibawa pada akhir pusingan.

Kategori dan Keputusan.

Formasi Trup TD1 telah dipilih sebagai juara keseluruhan UKMHK 2018 Peringkat Tentera Darat. Foto: Air Times News Network.

Pelbagai kategori dipertandingkan termasuklah Kategori Pasukan Tempur, Kategori Pasukan Bantuan Tempur, Kategori Pasukan Bantuan Khidmat, dan Kategori Pasukan Wanita. Untuk Kategori Wanita, sebanyak 10 pasukan anggota pranita hadir untuk bertanding.

Formasi 1 Divisyen dinobatkan sebagai juara Kategori Pasukan Tempur. Foto: Air Times News Network.

Dalam majlis penutup yang disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkiple Hj Kassim , Formasi 1 Div telah dinobatkan sebagai juara UKMHK 2018 bagi Kategori Pasukan Tempur manakala juara bagi Kategori Pasukan Bantuan Tempur dirangkul oleh Formasi 4 Div. 

Formasi 4 Divisyen mengungguli Kategori Pasukan Bantuan Tempur. Foto: Air Times News Network.

Selain dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan, Formasi Trup TD1 telah mengungguli Kategori Pasukan Bantuan Khidmat,. Foto: Air Times News Network.

Juara Kategori Pasukan Bantuan Khidmat pula diungguli oleh Formasi Trup TD 1 manakala juara Kategori Wanita disandang oleh Formasi 4 Div.

Tim Wanita dari Formasi 4 Divisyen telah membuktikan kesungguhan dan keupayaan mereka yang akhirnya berjaya mendapat tempat johan dalam Kategori Wanita. Foto: Air Times News Network.

Selain daripada itu juga Trup TD 1 telah dijulang sebagai juara keseluruhan UKMHK Peringkat Tentera Darat Tahun 2018.

Leftenan Muda Wan Anas Wafiy bin Wan Abdullah dari 1 Divisyen telah dipilih sebagai Ketua Platun Terbaik Lelaki.

Leftenan Muda Wan Anas Wafiy Bin Wan Abdullah dinobatkan sebagai Ketua Platun Lelaki Terbaik manakala Ketua Platun Wanita Terbaik dirangkul oleh Kapten Noor Fahizah Binti Hairi.

Kapten Noor Fahizah Binti Hairi dari 4 Divisyen telah dinobatkan sebagai Ketua Platun Wanita Terbaik.

Dalam ucapan penutup UKMHK , Panglima Tentera Darat menyatakan bahawa pertandingan ini menuntut daya usaha serta kewibawaan yang tinggi samada dari kalangan peserta itu sendiri mahupun di pihak pengurusannya. Ini kerana pertandingan seumpama ini memerlukan perancangan yang terperinci dan keupayaan mengolah strategi serta cara laksana yang luar dari praktis biasa.

Pertandingan Ujian Kemahiran Merentas Halangan dan Kawad merupakan ujian tahunan yang dilihat menjadi salah satu platform yang terbaik bagi menguji kekuatan dan keupayaan sesuatu pasukan. Foto: Air Times News Network.

Beliau turut menjelaskan kekalahan dalam pertandingan ini bukanlah bererti pasukan tersebut tidak gagah mahupun kurang hebat. Kemungkinan ia akibat daripada satu strategi yang kurang tepat ataupun pelaksanaannya yang kurang berkesan.

Namun begitu, beliau menekankan semangat setia kawan, kerjasama yang tinggi, semangat ingin berlawan dan kesungguhan untuk menang yang dipamerkan oleh setiap peserta adalah penting.

Turut hadir ke majlis penutupan ini ialah Timbalan Panglima Tentera Darat; Leftenan Jeneral Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah, Panglima-panglima Medan, Ketua Staf Tentera Darat, Panglima-panglima Formasi dan Pegawai-pegawai Kanan Tentera Darat.

Related Articles

Leave a Reply