Home Pertahanan dan Keselamatan Imigresen, ATM Rangka Kerjasama Latih Anggota PASTAK

Imigresen, ATM Rangka Kerjasama Latih Anggota PASTAK

by Pasri Asyraf

PUTRAJAYA, 22 Feb – Jabatan Imigresen akan bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi memantapkan lagi keupayaan anggota pasukan elitnya, Pasukan Taktikal Khas (PASTAK).

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata beliau telah bertemu Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor bagi membincangkan mengenai kursus lanjutan buat anggota PASTAK seperti latihan fizikal lasak dan komando.

Beliau berkata langkah itu bagi memastikan kesiapsiagaan anggota pasukan tersebut dalam menghadapi tugas yang semakin mencabar.

“Ada kes bot-bot pancung yang menjalankan pemerdagangan orang, apabila menghampiri pantai, mereka suruh pendatang asing tanpa izin terjun ke laut dan berenang ke tepian.

“Jadi pasukan ini juga perlu mempunyai keupayaan berenang dengan pantas, melalui kawasan paya bakau dan hutan serta bertindak seperti pasukan komando,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan jabatan itu, di sini hari ini.

Mustafar berkata ketika ini PASTAK mempunyai 40 anggota yang baharu menamatkan latikan selama 31 hari di Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am (PGA), Markas Briged Utara Ulu Kinta, Perak pada 13 Feb lepas.

Beliau berkata 20 daripadanya ditempatkan di ibu pejabat jabatan itu di Putrajaya, manakala selebihnya dihantar ke negeri yang mempunyai risiko keselamatan tinggi.

Katanya Jabatan Imigresen berhasrat menambah jumlah anggota pasukan itu dan memperluaskannya kepada anggota wanita.

“Sekarang kita ada lebih 400 pegawai kadet sedang melalui kursus asas di Port Dickson dan dalam masa sama kita juga memberi latihan tambahan bagi menambah jumlah pegawai (PASTAK),” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya pada majlis itu, beliau berkata Sistem Maid Online (SMO) bagi permohonan pembantu rumah asing yang memulakan operasi pada 1 Jan lepas telah merekodkan seramai 425,972 pelawat hingga semalam.

Mustafar berkata seramai 6,503 majikan telah mendaftar dan 1,345 permohonan lengkap.

Katanya sebanyak 200 permohonan telah diluluskan dengan 106 daripadanya telah selesai mendapat pelekat PAS Lawatan Kerja Sementara (PLKS), 55 telah lulus dan membuat bayaran, manakala 39 lagi belum membuat bayaran.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pekerja Asing, Datuk Khairul Khar Yahya dalam ucapan aluannya berkata Jabatan Imigresen telah mengutip levi pekerja asing sebanyak RM3.1 bilion pada tahun lepas.

Hingga semalam, katanya terdapat seramai 1.8 juta pekerja asing berdaftar di negara ini.

– BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply