Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Batalion 18 RAMD secara rasmi dikenali Batalion Infantri Para

Batalion 18 RAMD secara rasmi dikenali Batalion Infantri Para

by Air Times News Network

KUALA NERUS, 21 Feb – Batalion ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) hari ini distruktur semula dan secara rasmi dikenali sebagai Batalion Infantri (Para) yang mampu beroperasi serentak di dua wilayah bagi menangani pelbagai ancaman.

Langkah itu diambil selaras perkembangan semasa organisasi Tentera Darat yang berhasrat meningkatkan keupayaan dalam Pasukan Aturgerak Cepat

Panglima Tentera Darat, Tan Sri Zulkiple Kassim

“Batalion Para memang hampir keseluruhannya berada di Terendak, Melaka. Kita melihat ada kesesuaian yang mana Kem Seberang Takir berada dekat lapangan terbang, sekali gus memenuhi syarat untuk diwujudkan batalion Para,” katanya kepada media selepas menyempurnakan Majlis Pengisytiharan Batalion ke-18 RAMD Para di sini, hari ini.

Turut hadir, Panglima 10 Briged (Para), Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Zulkiple berkata, sebagai langkah awal penaiktarafan batalion terbabit kepada Pasukan Aturgerak Cepat, seramai empat pegawai dan 46 anggota lain-lain pangkat dipilih kumpulan perintis serta menghadiri Kursus Asas Payung Terjun di Pusat Latihan Asas Peperangan Khusus (PULPAK), Melaka.

“Pada hari ini, pasukan ini sudah mencapai tahap ditetapkan untuk diletakkan sebagai sebuah pasukan berstatus operasi (elit) berdasarkan kepada keupayaan semasa khususnya berkaitan kelayakan keanggotaan dan kelengkapannya.

“Penstrukturan semula ini juga didorong perkembangan geostrategik negara dan rantau ini yang melalui perubahan berterusan,” katanya.

Batalion ke18 RAMD Para ditubuhkan pada 1 Mei 1976 sebagai batalion infantri biasa dan ditempatkan di Kem Segenting, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Pasukan itu kemudian disusun semula menjadi Batalion Infantri Standard pada 10 April 1999 selaras penstrukturan semula Tentera Darat dan ditempatkan di Kem Sri Pantai, Kuala Terengganu sebelum sekali lagi distruktur menjadi Batalion Infantri (Para), hari ini.

Majlis berkenaan turut menyajikan hadirin dengan aksi dan keupayaan Pasukan Aturgerak Cepat menerusi demonstrasi termasuk penerjunan dari pesawat udara, teknik ‘fast roping’ dan serangan platun ke atas objektif musuh.

Demonstrasi ini melibatkan ketumbukan sejumlah 800 pegawai termasuk anggota Lain-lain Pangkat dari 10 Bgd Para.

Pelbagai aset ketenteraan turut digunakan termasuk milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) iaitu pesawat pejuang Sukhoi SU-30MKM dan pesawat pengangkut C130 H.

Related Articles

Leave a Reply