Johor Bahru, 16 Feb. – Masyarakat Cina diseru untuk melakukan pilihan yang bijak dan terus memberikan sokongan padu kepada Barisan Nasional dalam keadaan senang mahupun sukar.
Menurut Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, sokongan kaum Cina adalah penting dalam memastikan komitmen kerajaan negeri melaksanakan Dekad Baharu Johor.
“Tahun ini merupakan tahun anjing dalam kalendar masyarakat Tionghua dan kualiti utamanya termasuk bijak dan setia.”
“Sehubungan itu, masyarakat dinasihatkan agar memilih kerajaan dengan bijak dan tidak mudah terpedaya dengan tohmahan segelintir pihak,” katanya pada Majlis Ramah Tamah Sempena Tahun Baharu Cina anjuran Persekutuan Tionghua Johor Bahru hari ini.
Dalam majlis yang sama, Datuk Seri Mohamed Khaled turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM300,000 kepada Persekutuan Tionghua Johor Bahru.