SHAH ALAM, 14 Feb – Cadangan Pas menggugurkan baiah lafaz cerai talak tiga untuk calon PRU14 adalah tindakan yang cukup baik. Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata, tindakan itu sekali gus dapat menyelesaikan kekeliruan, bukan hanya dalam kalangan calon pilihan raya parti itu sendiri, malah masyarakat Islam mengenai perkara tersebut.
“Bagi saya, baiah talak tiga ini diwujudkan hanyalah sebagai taktikal Pas bertujuan mengikat calon pilihan raya mereka supaya tidak khianati parti,” katanya. Mengulas lanjut, Khalid berkata, pada asalnya ia tidak terkandung di dalam lafaz baiah Pas, namun mula diperkenalkan pada 2007 ketika parti itu berdepan PRK di Kelantan.
Katanya, walaupun telah dijalankan, namun tindakan itu masih mendapat pertikaian terutama dari sudut hukum pelaksanaannya. “Selepas mendapat pelbagai pandangan dan perbincangan, maka pada 2013, semua negeri membuat keputusan menggugurkan perkara itu kecuali di Kelantan yang masih mengekalkannya,” katanya.