Home Semasa Bunuh anak, anggota tentera bakal ke tali gantung

Bunuh anak, anggota tentera bakal ke tali gantung

by Pasri Asyraf

PORT DICKSON, 13 Feb – Seorang anggota tentera dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas pertuduhan membunuh anak perempuannya Nur Aina Nabihah, 9, pada 31 Januari lalu.

Tertuduh Mohammad Abdullah Mohamed, 35, didakwa melakukan perbuatan itu di rumahnya di Jalan Vista Jaya 5, Taman Vista Jaya, Lukut, antara jam 8.30 malam hingga 11.30 malam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh terhadap tuduhan itu di hadapan Majistret Siti Khairiah Abdul Razak.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya A Ashwini manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 15 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, isteri tertuduh berusia 34 tahun yang juga ibu tiri mangsa dibebaskan dengan jaminan mahkamah mengikut Seksyen 118 Kanun Prosedur Jenayah bagi dijadikan saksi pendakwaan kes berkenaan.

Akhbar sebelum ini melaporkan, buah pinggang rosak, usus terkoyak dan patah tulang rusuk antara punca kematian kanak-kanak perempuan itu yang dipercayai akibat didera bapa kandung dan ibu tirinya sebelum polis menahan kedua-duanya pada 1 Februari lalu.

Siasatan forensik di rumah mereka keesokannya membawa kepada penemuan kerusi plastik dan tali pinggang yang dipercayai digunakan tertuduh untuk mendera mangsa selain turut merampas air jampi.

Lebih menyedihkan apabila Nur Aina turut dipercayai diseksa seperti rekrut komando dengan dipaksa melakukan tekan tubi, sit up dan ketuk ketampi selain dipukul, ditendang dan dipijak oleh bapa kandungnya.

Related Articles

Leave a Reply