Home Pertahanan dan Keselamatan Perancis iktiraf Malaysia rakan strategik di Rantau Asia

Perancis iktiraf Malaysia rakan strategik di Rantau Asia

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 30 Jan – Lawatan Menteri Pertahanan Perancis ke Malaysia selepas pembentukan kerajaan baharu negara itu membuktikan kepentingan Malaysia sebagai rakan strategiknya di rantau Asia.

Ia juga mengukuhkan lagi kerjasama dua hala Malaysia dan Perancis, khususnya membabitkan isu pertahanan dan keselamatan global.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata lawatan rakan sejawatannya, Florence Parly yang pertama kali ke Malaysia untuk menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Bersama Pertahanan Strategik Malaysia-Perancis Ke-4 hari ini, amat penting.

Hishammuddin yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas berkata mesyuarat itu membincangkan pelbagai isu dan kerjasama strategik, terutama membabitkan isu keselamatan global seperti keganasan dan keselamatan maritim.

Katanya, mesyuarat itu turut menyentuh mengenai isu larangan import minyak sawit ke blok Kesatuan Eropah (EU) di mana Perancis yang juga anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dan antara pengasas EU, memberi jaminan untuk membantu Malaysia.

“Mesyuarat strategik ini menetapkan hala tuju jelas bagi kedua-dua negara,” katanya pada sidang media bersama Parly selepas mesyuarat strategik itu di Wisma Perwira ATM di Jalan Padang Tembak di sini.

Hadir sama Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohammed Noor dan Duta Perancis ke Malaysia, Frederic Laplanche.

Parly, yang turut bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan meninjau Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia Subang pagi tadi, menyifatkan Malaysia sebagai rakan strategik Perancis dalam isu keselamatan global di rantau Asia.

Katanya, kerjasama pertahanan Malaysia-Perancis membabitkan pertukaran strategik politik, kerjasama ketenteraan dan latihan.

Parly juga menyatakan komitmennya untuk menjadi hos kepada Malaysia bagi Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Bersama Pertahanan Strategik Malaysia-Perancis Ke-5 yang akan diadakan di Paris tahun depan.

Related Articles

Leave a Reply