Home Pertahanan dan Keselamatan 2,500 anggota ATM siap sedia hadapi banjir di Kelantan dan Terengganu

2,500 anggota ATM siap sedia hadapi banjir di Kelantan dan Terengganu

by Air Times News Network

KOTA BHARU, 28 Nov – Seramai 2,500 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam keadaan siap siaga untuk menghadapi banjir yang sedang melanda Kelantan dan Terengganu ketika ini.

[blockquote align=”none” author=”Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd Johari Baharum”]Daripada jumlah tersebut, setakat ini, 17 pegawai dan 500 anggota telah berada di lapangan bagi membantu tugas agensi-agensi keselamatan dan bencana yang lain untuk memindahkan mangsa banjir ke beberapa Pusat Pemindahan Banjir (PPS) di kedua-dua negeri berkenaan.[/blockquote]

“Selain daripada kekuatan anggota tentera, ATM menyediakan sebanyak 16 buah bot tempur, 30 buah lori tiga tan dan pelbagai peralatan perairan sepanjang operasi ketika bencana banjir berlaku,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia Peringkat Negeri Kelantan di sini, hari ini

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM Mej Jen Datuk Mohamad Khir Abdullah, Panglima 2 Divisyen Mej Jen Datuk Mohd Ramli Jaafar, Panglima 8 Briged Datuk Nazari Abd Hadi, Yang Dipertua Persatuan Veteran ATM (PVATM) Datuk Seri Muhammad Abdul Ghani dan Ketua Jabatan Pencegahan dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan ACP Samsudin Md Amin.

Seramai 159 veteran ATM yang bertugas dari 1 Jan 1969 hingga 17 Okt 1990 yang terbabit dalam operasi menentang Parti Komunis Malaya (PKM) menerima pingat berkenaan.

Mohd Johari berkata pegawai dan anggota tentera yang ditugaskan semasa banjir merangkumi beberapa pasukan termasuk penyelamat, pemindahan dan perubatan.

Ditanya mengenai kawalan keselamatan terutama di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan, beliau berkata ada pegawai dan anggota tentera yang khusus menjalankan tugas tersebut dan tidak terlibat dengan operasi berkaitan banjir.

“Kita tetap menjaga sempadan negara walaupun berlakunya bencana kerana kita mengambil kira segala kemungkinan yang boleh berlaku sama ada di darat, laut dan udara,” katanya. –Bernama

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!