Home Semasa Mangsa Banjir Di Kelantan Meningkat 449 Orang Pagi Ini

Mangsa Banjir Di Kelantan Meningkat 449 Orang Pagi Ini

by Air Times News Network

KOTA BHARU, 27 Nov – Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri ini meningkat kepada 449 mangsa 8 pagi ini berbanding 317 pada 9.30 malam tadi.

Ia berikutan hujan lebat berterusan sejak Sabtu yang menyebabkan beberapa kawasan rendah di beberapa jajahan di seluruh negeri mula dilanda banjir.

Menurut aplikasi infobanjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), di Kota Bharu, sebanyak 98 mangsa daripada 21 keluarga ditempatkan di dua PPS iaitu di Islamic Outreach Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Kok Lanas dan Dewan Orang Ramai Pasar Melor.

Sementara itu, di Pasir Mas terdapat 50 mangsa daripada 15 keluarga ditempatkan di sebuah PPS iaitu Madrasah Haji Daud manakala di Tanah Merah, dua PPS dibuka iaitu Sekolah Kebangsaan Kelewek, Bukit Panau dan Madrasah Padang Kijang masing-masing melibatkan 39 dan 20 mangsa.

Di Pasir Puteh pula, 223 mangsa daripada 72 keluarga ditempatkan di tiga PPS melibatkan Sekolah Kebangsaan Kamil 1 (52 mangsa daripada 21 keluarga), SK Changgai (147 mangsa daripada 46 keluarga) dan SK Wakaf Raja (24 mangsa daripada lima keluarga).

Di Machang, seramai 10 mangsa membabitkan empat keluarga ditempatkan di tiga PPS iaitu Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Pei Hwa (empat), Madrasah Sungai Mas (lima) dan SK Pangkal Meleret (seorang).

Hingga kini, dilaporkan hujan renyai di seluruh negeri. Menurut portal infobanjir.water.gov.my Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), hingga 7 pagi tadi, bacaan paras air di Sungai Galas di Dabong meningkat kepada 33.46 meter (m) (berjaga-jaga 32m), Sungai Lebir di Tualang kepada 27.06m (berjaga-jaga 27m) dan Sungai Kelantan di Kuala Krai kepada 20.03m (berjaga-jaga 20m).

Sementara itu, Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas terus menunjukkan peningkatan kepada 8.94m (bahaya 8m) pada 7 pagi ini berbanding 8.13m pada 9 malam tadi.

Related Articles

Leave a Reply