Home Semasa Rasuah: SPRM Tahan Penolong Pengarah JKKP Johor

Rasuah: SPRM Tahan Penolong Pengarah JKKP Johor

by Air Times News Network

JOHOR BAHRU, 1 Nov – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang Penolong Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor kerana disyaki terbabit dalam kes meminta dan menerima wang rasuah.

Menurut kenyataan SPRM hari ini, suspek berusia 37 tahun itu ditahan di sebuah hotel di bandar raya ini pada jam 2.40 petang semalam kerana disyaki meminta dan menerima wang berjumlah RM30,000 daripada seorang pengurus projek sebuah syarikat kejuruteraan petroleum.

“Ia sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan terhadap syarikat berkenaan yang didapati memasang Mesin Angkat tanpa mendapat kebenaran daripada pihak JKKP Johor,”kata SPRM.

“Susulan tangkapan, pasukan penyiasat telah menyerbu rumah suspek dan menjumpai wang tunai berjumlah RM18,505 yang disembunyikan di dalam bilik dan bawah tangga kediaman itu. Turut dirampas beberapa dokumen berkaitan projek berkenaan, menurut kenyataan itu.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman denda lima kali nilai rasuah atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun, jika disabit kesalahan.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi, berkata suspek itu akan dihadapkan ke mahkamah petang ini untuk permohonan reman bagi membantu siasatan.

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply