Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Tentera Darat miliki kemudahan latihan ZUCoV pertama di Asia Tenggara

Tentera Darat miliki kemudahan latihan ZUCoV pertama di Asia Tenggara

by Air Times News Network

JOHOR BAHRU, 30 Okt – Tentera Darat Malaysia (TDM) kini memiliki kemudahan latihan Operation Built Urban Area (OBUA) yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara dalam usaha meningkatkan kemahiran pertempuran bandar, dirasmikan hari ini.

Perkampungan OBUA yang dikenali sebagai Zulkiple’s Urban Combat Village (ZUCoV) itu adalah bersempena nama Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim.

Majlis perasmian dan demonstrasi latihan tempur ZUCoV yang dibina di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di sini, disempurnakan sendiri Zulkiple hari ini.

Zulkiple berkata, pembinaan ZUCoV membabitkan kos berjumlah kira-kira RM423,000 (AUD$130,000) yang dibiayai sepenuhnya Tentera Darat Australia (TDA).

“Kemudahan latihan ini boleh menampung satu kompeni infantri (dalam satu masa) dan ia dibina dengan sepenuhnya bantuan kewangan TDA selain akan diguna pakai bersama dengan TDA yang turut menjalani latihan di Semenanjung.

“Teknik dan kemahiran dalam OBUA sememangnya berbeza jika dibandingkan dengan medan tempur (hutan) kerana ia membabitkan bangunan.

“Atas sebab itu, TDM perlu mempunyai lapang sasar (kemudahan) bagi menjalani latihan seperti ini dan selepas menyaksikan demonstrasi tadi, saya yakin ia mencapai objektif,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan perasmian ZUCoV di Perkampungan OBUA di PULADA di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Azizan Md Delin, Panglima Markas Latihan Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Wira Md Tajri Alwi dan Panglima 3 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah.

Konsep latihan OBUA yang dianjurkan PULADA merangkumi empat peringkat iaitu permulaan, pertengahan, pendahulu dan pakar.

Related Articles

Leave a Reply