Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut Mawilla 2 tingkatkan keyakinan keselamatan di perairan pantai timur Sabah

Mawilla 2 tingkatkan keyakinan keselamatan di perairan pantai timur Sabah

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 20 Okt – Pengoperasian Markas Wilayah Laut 2 (Mawilla 2) baharu di Sandakan, Sabah dapat meningkatkan keyakinan keselamatan komuniti maritim khususnya nelayan yang beroperasi di perairan pantai timur negeri itu.

Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin

Pengoperasian Mawilla 2 merupakan komitmen berterusan Kementerian Pertahanan bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk terus mengukuhkan keselamatan perairan pantai timur Sabah

Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin

“Kita tidak boleh leka dan sentiasa kena proaktif untuk melindungi serta menjaga komuniti maritim di kawasan perairan berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pemakaian Pangkat di KD Sri Gombak, di sini, hari ini.

Selain itu, beliau berkata penubuhan markas itu juga dapat menyumbang kepada kesejahteraan pembangunan sosial dan ekonomi masyarakat di kawasan itu.

“Pembangunaan markas ini meliputi beberapa aspek antaranya infrastruktur iaitu kemudahan-kemudahan yang disediakan di pangkalan dan modal insan melibatkan penambahan anggota dan aset-aset TLDM,” katanya.

Mawilla 2 sebelum ini berpangkalan di Kota Kinabalu dan dipindahkan ke Pangkalan TLDM Sandakan yang memulakan pengoperasian pada 30 Ogos lepas. Perasmian Mawilla 2 di Sandakan telah disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman pada Selasa.

Mengulas mengenai majlis pemakaian pangkat, Ahmad Kamarulzaman berkata ia merupakan pengiktirafan kepada anggotanya termasuk penghargaan kepada atlet TLDM yang menunjukkan prestasi cemerlang pada temasya Sukan SEA 2017 baru-baru ini.

“Saya begitu bangga dengan mereka dan berharap pengiktirafan ini juga dapat memotivasikan mereka dalam kejuaraan akan datang,” katanya.

Seramai 59 pegawai dan anggota TLDM telah dinaikkan pangkat termasuk 13 atlet TLDM yang memenangi pingat emas pada temasya Sukan SEA 2017.

Majlis itu turut menyaksikan kenaikan pangkat seorang pegawai kanan wanita pertama Kapten Rohana Jupri yang sebelum ini berpangkat Komander TLDM. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply