Home Pertahanan dan Keselamatan Eksesais Haringgaroo Tingkat Persefahaman Tentera Malaysia Dan Australia

Eksesais Haringgaroo Tingkat Persefahaman Tentera Malaysia Dan Australia

by Air Times News Network

SUNGAI SIPUT, 21 Sept – Eksesais Haringgaroo Siri 68 antara Tentera Darat Malaysia dan Australia yang diadakan sejak 11 Sept lepas berjaya meningkatkan kerjasama dan persefahaman antara kedua-dua pasukan keselamatan.

Panglima 2 Divisyen Mej Jen Datuk Mohd Ramli Jaafar berkata latihan ketenteraan yang disertai anggota tentera kedua-dua negara dilaksanakan di bawah Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) yang turut dianggotai oleh New Zealand, Singapura dan United Kingdom.

Beliau berkata eksesais itu mampu menguji kemampuan pasukan Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja dan Rifle Company Australia yang berpangkalan di Butterworth dalam melaksanakan operasi insurgensi selain bertukar pandangan serta pengalaman dalam bidang ketenteraan.

“Kita mempunyai beberapa aktiviti bilateral antara kedua-dua negara dan ini adalah satu daripada kerjasama yang dilaksanakan selain menganjurkan kursus, seminar serta pertukaran pegawai dan jurulatih.

Menerusi eksesais ini, ia dapat melatih anggota tentera memahami prosedur serta bertukar idea, taktikal dan teori untuk tugasan serangan serta pertahanan di lapangan peperangan

Mej Jen Datuk Mohd Ramli

Mohd Ramli bercakap kepada pemberita selepas upacara penutupan eksesais berkenaan di kawasan serangan akhir di Terkok di sini yang turut dihadiri Panglima 2 Briged Brig Jen Datuk Mohd Nizam Jaffar dan Komander 3 Briged Australia Brig Jen Christopher Field hari ini.

Beliau berkata pihaknya menerima maklum balas positif daripada anggota tentera Australia yang terlibat walaupun dalam keadaan cuaca yang tidak menentu semasa latihan itu berlangsung.

Eskesais itu akan diteruskan pada masa akan datang

Mohd Ramli berkata eskesais itu akan diteruskan pada masa akan datang dan pihaknya kini sedang menunggu ketetapan daripada pihak tentera Australia untuk menjalani latihan ketenteraan di negara berkenaan.

Sejumlah 319 anggota tentera darat kedua-dua negara menyertai latihan di sekitar bandar raya Ipoh dan Sungai Siput yang menekankan aspek operasi melawan insurgensi di hutan, bertukar kefahaman mengenai doktrin dan aspek ketenteraan agar dapat menggunakan satu kefahaman sama.

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply