Home Pertahanan dan Keselamatan AS Hargai Usaha Malaysia Cari Anak Kapal USS John S. McCain – Trump

AS Hargai Usaha Malaysia Cari Anak Kapal USS John S. McCain – Trump

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald J. Trump telah menzahirkan penghargaan negaranya kepada Malaysia yang membantu usaha mencari 10 anak kapal USS John S. McCain yang hilang berikutan perlanggaran dengan sebuhan kapal dagang di Johor Isnin lepas.

“Presiden Trump menzahirkan penghargaan Amerika Syarikat atas usaha Malaysia mencari anak kapal AS yang jatuh daripada kapal USS John McCain, ” kata Kedutaan AS di Kuala Lumpur dalam Twitter @usembassykl hari ini.

USS John S. McCain, sebuah kapal pemusnah peluru, berlanggar dengan kapal dagang Alnic MC di Teluk Ramunia pada 5.30 pagi Isnin, yang menyebabkan lima anak kapal cedera dan 10 orang lagi hilang.

Malaysia menyertai usaha pencarian oleh pelbagai negara bagi mengesan anak kapal yang hilang itu di kawasan timur Singapura dan semenanjung Malaysia yang seluas kira-kira 900 batu nautika di sekitar lokasi asal perlanggaran tersebut.

Dalam perkembangan terbaru di laman webnya malam tadi, Armada Ketujuh Tentera Laut AS memaklumkan bahawa ia telah menggantung usaha mencari dan menyelamat sembilan anak kapal yang masih hilang di kawasan seluas 2,100 meter persegi timur Selat Melaka dan Singapura, selepas ia menemui mayat seorang anak kapal.

Ia memaklumkan bahawa para penyelam Tentera Laut dan Kor Marin AS akan meneruskan usaha mencari dan menyelamat anak kapal yang masih hilang dalam bahagian ditenggelami air di kapal itu.

Kedutaan AS menyatakan bahawa Trump juga menantikan kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke White House di Washington pada 12 Sept ini.

Kementerian Luar dalam kenyataan semalam berkata Najib akan membuat lawatan kerja ke Washington DC atas jemputan Trump.

Wisma Putra berkata Malaysia dan Amerika Syarikat mahu meraikan ulang tahun ke-60 hubungan dua hala kedua-dua negara, dan hubungan itu diperluaskan di bawah kepimpinan Najib dengan menjadikannya perkongsian lebih komprehensif berdasarkan kepentingan bersama.

Kedutaan AS turut menyiarkan gambar Trump, Duta Malaysia ke AS Tan Sri Dr Zulhasnan Rafique dan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Zulkifeli Mohd Zin dan di Pejabat Oval White House dalam Twitter itu.

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply