Kedua-dua insiden berdarah itu menyusuli pembunuhan Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pattani, Adulej Cheknee serta empat lelaki yang mendulang emas di Pattani dan Narathiwat empat hari lalu.

Kejadian pertama menyaksikan sekumpulan empat lelaki bersenjata menyerbu sebuah rumah dan menembak mati sebanyak lima orang di Yala awal pagi semalam ketika keganasan di wilayah bergolak itu semakin meningkat menjelang penghujung Ramadan ini.

Mayat mangsa dengan luka tembakan di kepala ditemukan bergelimpangan di sebuah rumah di daerah Bannang Sata, Yala awal pagi semalam.

“Kami percaya insiden itu berpunca daripada pertikaian berhubung perniagaan,” kata Leftenan Kolonel Akepong Waedang tanpa menghurai lanjut.

Bangkok Post melaporkan, serangan itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 1 pagi di rumah Ibroheng Museh, 32, di mukim Tanohputeh.

Penyerang menggunakan selaras senapang dan raifal M16.

Ibroheng ditembak mati bersama sepupunya, Ahmah Museh, 33, dan jirannya, Aranchai Doheh, 26; Usman Yusoh, 39, dan Furagon Laso, 25,.

Pasukan penyiasat menemukan lebih daripada 10 butir kelongsong peluru.

Sebanyak empat penyerang bertopeng tiba di rumah mangsa dengan menaiki dua motosikal.

Dua daripada penyerang bersenjatakan senapang dan raifal M16 kemudiannya memasuki rumah mangsa dan menembak mati kesemua mereka.

Mangsa dilaporkan kerap berkumpul di rumah Ibroheng pada waktu malam setelah berpuasa pada bulan Ramadan.

Tambahnya, pihak polis masih menyiasat kes berkenaan.

Dalam satu lagi kejadian pada 6 petang kelmarin di daerah Saiburi, Pattani, seorang wanita dikenali sebagai Yenah Abubakar, 48, mati akibat tembakan di bahagian kepala.

Mangsa merupakan isteri penghulu Mukim Trabon ditembak dua lelaki yang menaiki motosikal ketika menjual juadah berbuka puasa di hadapan rumahnya.