KUALA LUMPUR, 13 Jul – Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa didesak untuk memberikan penjelasan mengenai dakwaan bahawa beliau menjadi saksi kepada perjanjian jawatan Timbalan Perdana Menteri antara Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil berkata, jika surat perjanjian tersebut tidak betul, Annuar perlu perjelaskan dan menafikan supaya ia tidak menjadi polemik di dalam UMNO.
“Mungkin Annuar Musa boleh komen sama ada ia betul atau tidak, sebab pemimpin-pemimpin Bersatu ada sebut nama dia dan surat perjanjian yang tular itu ada tandatangan dia. Jika betul, saya ingin tanya, dia ada tanya parti dan MKT kah semasa dia tandatangan perjanjian itu?
“Sebab perjanjian seperti ini adalah bukan perkara kecil, dan ia bukan sahaja melibatkan ahli-ahli Parlimen dalam kerajaan, ia juga memberi kesan besar kepada parti-parti politik dalam kerajaan termasuk dan lebih-lebih lagi UMNO,
“Jika surat itu tidak betul, sila perjelaskan atau nafikan supaya ia tidak menjadi polemik di dalam parti. Akar umbi dan rakyat ingin tahu. Ini bukan isu yang boleh disorok di bawah karpet. Jangan khianat parti dan jangan membelakangi parti dan akar umbi UMNO,” katanya dalam satu kenyataan di media sosialnya hari ini.
Mengulas lanjut, Isham berkata, beliau tidak boleh memberi komen tentang perjanjian tersebut kerana pada masa itu tidak berada dalam MKT semasa ia ditandatangani.
“Saya ada tanya beberapa rakan ahli MKT, mereka pun kata mereka tidak tahu menahu akan perjanjian ini,” ujarnya.
Terdahulu, Muhyiddin meminta Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang merujuk kepada Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang didakwanya individu bertanggungjawab menggubal draf mengenai kewujudan perjanjian antara beliau dan Ismail Sabri berkaitan tersebut.
Selain Takiyuddin perjanjian itu disaksikan Annuar dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin. – airtimesm.my