Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Ramli Kasa berkata, laporan polis berhubung insiden yang berlaku kira-kira pukul 2.30 petang pada 8 Disember lalu itu dibuat oleh pihak tentera semalam.

“Berdasarkan laporan itu, dua lelaki cuba memasuki kem tentera itu dengan menyamar sebagai pegawai tentera berpangkat kolonel, tetapi tidak dibenarkan (masuk) dan kemudian mereka melarikan diri.

“Kami belum pasti apa motif mereka dan kes disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan iaitu menyamar sebagai penjawat awam,” katanya kepada media di sini hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial berkenaan suspek yang berpakaian seragam tentera itu gagal memasuki kem tersebut selepas dihalang oleh anggota yang bertugas mengawal pintu masuk kem berkenaan.

Suspek gagal mengemukakan bukti mereka pegawai tentera selepas anggota tentera berkenaan meminta mereka berbuat demikian kerana mendapati usia lelaki terbabit tidak sepadan dengan pangkat kolonel pada pakaian tentera yang dipakai mereka.