Segmen-segmen tersebut yang melibatkan kenegaraan, ketenteraman awam, keselamatan negara dan rakyat bersepadu merupakan cerminan semangat patriotik dan cintakan negara.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Dr. Mohd. Ali Mohamad Nor, persembahan tersebut diolah dan direka bersesuaian dengan tema serta semangat Malaysia baharu.

“Keunikan sambutan kali ini ialah melalui tema Sayangi Malaysiaku yang bertetapan dengan semangat kerajaan baharu dan pada masa kita juga tonjolkan bagaimana untuk melahirkan perpaduan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas acara raptai penuh Hari Kebangsaan 2018 di sini, hari ini.

Mengulas mengenai acara raptai penuh tersebut, katanya, semua acara yang diatur berjalan lancar mengikut jadual ditetapkan.

“Hari ini semua acara berjalan lancar ditambah pula dengan cuaca yang sangat baik sejak awal pagi tadi. Kita berharap cuaca elok akan berterusan hingga hari Jumaat ini,” katanya.

Sementara itu, acara raptai tersebut yang bermula pada pukul 8 pagi dimulakan dengan acara kawad hormat diikuti dengan acara perbarisan, pancaragam serta pertunjukan aset udara dan darat oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta persembahan tarian oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) bersama kanak-kanak Permata Seni.