Menterinya, yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk, Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kebajikan berkenaan turut melibatkan soal pendidikan.

“Selain itu, kita juga akan melihat kebajikan keluarganya kerana ayah arwah pun tak berapa nampak dan (arwah) pula ada adik yang pembelajarannya terhad,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas meluangkan masa kira-kira setengah jam menziarahi keluarga Adnan, 33, di Taman Jaya Lukut di sini.

Adnan meninggalkan isteri Norshamiza Salleh, 32, dan dua anak Nur Aisyah Damia, empat tahun, dan Nur Aliyah Maisara, dua tahun.

Wan Azizah yang tiba di kediaman keluarga arwah pukul 9.00 pagi dan disambut bapanya Othman Surati, 69, dan ibu Roonani Abdullah, 58, juga merakamkan ucapan takziah kepada keluarga.

Sementara itu,  Norshamiza melahirkan rasa terharu dengan kunjungan timbalan Perdana Menteri.

“Terima kasih atas keprihatinan Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri dan pihak lain. Itu saja yang boleh saya cakap.

“Timbalan Perdana Menteri pesan kepada saya hidup ini mesti diteruskan walau apa pun yang berlaku dekat kita semuanya ada perjalanan yang tersendiri cuma pengakhiran kita, kita tak tahu dekat mana. Terima kasih atas kata-kata yang sangat baik,” katanya.

Norshamiza adalah pengajar di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia, Sungai Buloh, Selangor.

Rabu lepas, enam anggota penyelam PPDA Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia maut ketika menjalankan operasi mencari dan menyelamat seorang remaja yang jatuh ke dalam lombong di Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor. – Bernama