Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, skim pelaburan berkenaan melibatkan dua kategori iaitu Amanah Saham Bumiputera Zulu (ASB-Z) khusus kepada anggota dan veteran ATM berstatus bumiputera dan Amanah Saham 1Malaysia Zulu (AS1M-Z) kepada bukan bumiputera.

“Skim ini disediakan dengan kerjasama Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB). Melalui ASB-Z, sebanyak 1.5 bilion unit saham iaitu satu bilion unit untuk anggota ATM dan 500 juta unit kepada veterannya manakala bagi AS1M-Z pula, sebanyak 30 juta unit saham diperuntukkan.

“Kedua-dua skim pelaburan ini diwujudkan bertujuan memupuk budaya melabur dalam kalangan anggota dan veteran ATM selain meningkatkan taraf sosioekonomi mereka,” katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Ramah Mesra Bersama Warga 4 Divisyen di Kem Wardieburn di sini, hari ini.

Yang turut hadir Panglima 4 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mohd. Zakaria Yadi dan Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Dr. Mohd. Shafei Abdullah.

Mengulas lanjut, Hishammuddin memberitahu, skim berkenaan mempunyai pelbagai kelebihan berbanding skim biasa antaranya nilai pelaburan digandakan dan tempoh pelaburan yang fleksibel iaitu untuk tempoh lima tahun atau 10 tahun yang bernilai RM14,000 hingga RM140,000.

Menurut beliau, ASB-Z dan AS1M-Z hanyalah sebahagian daripada pelbagai inisiatif yang akan dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan kebajikan anggota dan veteran ATM terus terpelihara.

Ini kerana, beliau turut memperuntukkan RM815,000 kepada Tabung Khas bagi Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (Bakat) dan jumlah itu akan diagih mengikut bilangan keanggotaannya dalam setiap perkhidmatan.

Selain itu, tambahnya, tujuh lagi inisiatif diberikan kepada warga awam Kementerian Pertahanan iaitu menyediakan 500 unit rumah di Sungai Besi di bawah inisiatif Rumah Wilayah Persekutuan (Rumahwip), Karnival Jualan Murah setiap bulan dan menaik taraf taman asuhan kanak-kanak (taska) serta mewujudkan Rumah Transit dengan dana tambahan RM30,000.

Hishamuddin berkata, kementeriannya juga akan memperkenalkan bantuan pendidikan khas untuk anak-anak warga awam Mindef yang cemerlang dalam peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) iaitu masing-masing akan menerima RM100 dan RM150 sebulan selama setahun.