JOHOR BAHRU, 22 Jun – Solat Jumaat, solat jemaah lima waktu dan solat Aidiladha serta kegiatan agama dibenarkan mengikut satu pertiga (1/3) kapasiti masjid serta surau bagi Johor bermula Jumaat ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, solat Jumaat, Solat berjemaah lima waktu, solat Hari Raya Aidil Adha, ibadah korban serta aktiviti agama di semua masjid dan surau di negeri Johor boleh dilakukan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
“Solat Jumaat hanya boleh dipenuhi oleh bilangan jemaah sebanyak (1/3) kapisiti masjid dan surau dengan mematuhi penjarakan sosial,
“Kewajiban solat Jumaat gugur ke atas mereka yang tidak terpilih untuk hadir solat Jumaat di masjid pada hari berkenaan dan wajib menunaikan solat fardhu zuhur di rumah,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, solat fardhu lima waktu dan Solat Hari Raya Aidil Adha juga dibenarkan mengikut 1/3 kapisiti masjid dan surau dengan mematuhi penjarakan sosial.
“Walaubagaimanapun surau hendaklah mendapat kebenaran dahulu untuk menunaikan Solat Hari Raya Aidil Adha daripada Kadi Daerah,
“Kebenaran ini berkuatkuasa mulai waktu subuh 4 Zulkaedah 1441H bersamaan 26 Jun 2020 sehingga satu tarikh yang akan ditentukan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor, ” ujarnya.
Beliau menambah, pelaksanaan ibadah korban bagi tahun ini juga dibenarkan di Pusat-Pusat Penyembelihan dan Masjid yang memiliki tempat penyembelihan yang diluluskan oleh Pejabat Kadi Daerah dan Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah.
Beliau menegaskan bahawa Ahli Jawatankuasa Masjid dan Surau hendaklah bertanggungjawab sepenuhnya untuk memastikan pengurusan dan pelaksanaan semua jenis aktiviti solat serta ibadah korban berjalan dengan lancar serta mematuhi segala garis panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam.
“Sepanjang tempoh PKPP, semua perhimpunan bagi aktiviti agama seperti ceramah perdana dan seumpamanya di seluruh premis masjid serta surau hendaklah ditangguhkan,
“Walaubagaimanapun, pelaksanaan aktiviti kuliah Subuh dan Maghrib tidak melebihi 30 minit serta bacaan Yasin, tahlil serta surah al-Kahfi setiap malam, selain subuh Jumaat dibenarkan sehingga ke satu tarikh yang akan ditentukan oleh MAIJ,” katanya.