Beliau berjanji akan memberi bantuan secukupnya kepada kementerian yang diketuai menterinya, Rina Harun sekiranya memerlukan keperluan tertentu seperti pengambilan pegawai, bekerjasama dengan pihak luar atau apa sahaja.

Tegas beliau, kelebihan itu berikutan tugas dan tanggungjawab yang dipikul Kementerian Pembangunan Luar Bandar akan menjadi amat besar daripada kementerian-kementerian lain.

“Oleh kerana Mara menjadi begitu besar maka untuk satu orang sahaja mengurusnya tidak mencukupi, sebab itu kita cuba mengagihkan kepada beberapa kementerian tetapi mendapat tentangan yang cukup hebat. Tidak apa kalau tak suka, kita kembalikan MARA kepada satu kementerian saja iaitu Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

“Saya harap kementerian itu kuat dan sanggup memikul beban yang cukup besar kerana MARA bukan kecil, tetapi terlibat dalam macam-macam bidang seperti industri luar bandar, perniagaan, latihan, pelajaran, pengurusan pelaburan dan banyak lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada perwakilan dalam Sesi Dialog Masa Depan Bumiputera dan Negara Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara (KBN) 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.