Semua pihak, titah baginda, perlu merujuk Perlembagaan Persekutuan 1957 yang menekankan tentang kebalnya unsur-unsur tradisi ini.

“Biarlah kita “bagai bahu memikul, hati menyokong”.  Jangan berlagak semacam “orang yang kenyang, kalau dijamu dengan lauk yang sedap sekalipun, berkata tawar”,” katanya.

Beliau bertitah demikian ketika merasmikan Persidangan Dewan Undangan Negeri ke-14 , Mesyuarat Kedua Penggal Pertama di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Terdahulu baginda turut mencemar duli memeriksa kawalan keselamatan daripada Polis Diraja Malaysia Pasukan Simpanan Persekutuan Cheras, Kuala Lumpur di pekarangan Wisma Darul Aman.

Turut berangkat Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Ariff, Tunku Bendahara Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah, Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Tunku Laksamana Kedah, Datuk Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Baginda turut menzahirkan kebimbangan dengan kecenderungan sesetengah pihak untuk menganggu gugat perpaduan dalam kalangan rakyat atas dasar liberalisme, keterbukaan serta kebebasan bersuara.

Baginda bertitah, perkara itu dicetuskan dengan menimbulkan isu nostalgia bangsa, sensitiviti kaum, agama dan kepercayaan secara sengaja.

“Semua ini dilakukan atas dasar liberalisme dan keterbukaan serta kebebasan bersuara. Beta mengerti, dalam dunia hari ini, ramai berpandangan bahawa adalah hak mereka untuk menyatakan apa-apa yang difikir, dan orang lain tidak berhak untuk menghalang.

“Permuafakatan telah pun dimeterai kemas, dan kemudiannya telah membentuk kandungan perlembagaan kita.  Pakatan murni yang dipersetujui adalah cerminan sikap tolak ansur peribumi terhadap pelbagai kaum yang lain.  Ia telah diterima sebagai sebuah kontrak sosial dengan hasrat menjamin keharmonian,” titah baginda.

Bertitah lanjut kata baginda, rakyat hari ini lebih kerap membincangkan perbezaan daripada persamaan dan perpecahan daripada penyatuan.

“Jika kita tafsirkan kepelbagaian sebagai kekuatan, kepelbagaian sebagai penyatuan, maka kepelbagaian sepatutnya diterima sebagai satu anugerah, satu rahmat. Oleh sebab itulah para leluhur kita telah menjadikan perpaduan sebagai tiang seri negara,” katanya.