Bekas Ketua Pe­ngarah Jabatan La­tihan Khidmat Ne­gara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, kerajaan sebaliknya perlu mengekalkan program tersebut dan membuat beberapa penambahbaikan termasuk mengembalikan dasar asal PLKN.

“Kita kembali kepada asal kenapa PLKN diwujudkan. Program ini ditubuhkan selepas pergaduhan antara kaum yang terjadi di Kampung Medan dan ketika itu kerajaan di bawah ke­pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad mencari sesuatu untuk menyemai sikap perpaduan serta patriotisme.

“Selepas mengambil kira pandangan daripada pelbagai pihak, kerajaan mengambil inisiatif mewujudkan PLKN de­ngan membentuk Akta Latihan Khidmat Negara 2003,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan kerajaan untuk memansuhkan PLKN namun ditentang pelbagai pihak termasuk Yayasan Briged Sukarelawan Khidmat Negara (YBSKN) dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

Jelas Abdul Hadi, PLKN tidak seharusnya dimansuhkan dengan alasan ia menelan per­belanjaan yang tinggi, sebaliknya kerajaan perlu mencari inisiatif untuk mengurangkan kos perbelanjaan.

“Kembalikan PLKN kepada dasar lama antaranya kerajaan ti­dak perlu melantik penasihat luar kerana di setiap PLKN ada jurulatih yang berupaya memberikan latihan kepada pelajar dan ini boleh membantu menjimatkan kos.

“Kebanyakan negara merangka program untuk belia malah Brunei menjadikan PLKN sebagai modul program belia di negaranya, kenapa kita pula mahu memansuhkannya,” katanya.

Dalam pada itu, Duta Briged Sukarelawan Khidmat Negara (BSKN), Cecilia Raj berpendapat, program tersebut tidak seharusnya dimansuhkan kerana telah melahirkan peserta yang mempunyai semangat patrio­tisme serta menghormati budaya pelbagai kaum.

“Ada yang cakap program ini membazir, mereka tidak menjadi peserta dan mereka tidak tahu apa yang kami pelajari di kem tersebut,” katanya.

“Kami bukan datang bercuti tetapi belajar menjadi seorang yang lebih baik dan memperoleh pelbagai ilmu termasuk ketahanan diri,” katanya.

Tambahnya, kejayaan program tersebut dapat dibuktikan apabila sebahagian besar bekas pelatih PLKN kini menjadi sukarelawan dan terlibat dalam pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu masyarakat.