KOTA KINABALU, 30 Dis – Tentera Darat Malaysia (TDM) akan menambah baik dan menaik taraf infrastruktur Kem Shan Shui yang dahulunya merupakan sebuah kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan kini didiami oleh pasukan Batalion Ke-8 Rejimen Sempadan (8 RS).
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata, penambahbaikan infrastruktur tersebut adalah dengan mengambil kira kepentingan aspek kebajikan anggota Rejimen Sempadan di Sabah.
Sehubungan itu, beliau berkata, TDM akan berusaha menambah baik kem berkenaan menerusi pembinaan infrastruktur baharu dan menaik taraf kemudahan yang sedia ada.
“Kem 8 RS akan dinaiktaraf dan ditambahbaik berdasarkan kepada spesifikasi serta standard operating procedure (SOP) sebuah Batalion Infantri Standard (BIS) dalam menyediakan prasarana pentadbiran serta latihan yang kondusif kepada anggota secara berperingkat,
“Selain itu, Tentera Darat juga sangat komited dalam pembangunan insaniah anggota dan keluarga 8 RS dengan melengkapkan keperluan serta kemudahan yang setaraf melalui perincian terhadap penambahan sewaan kelompok bagi rumah keluarga 8 RS,
Perancangan penstrukturan ini selaras Tonggak Kedua Perintah Ulung saya dan sejajar dengan pelan pembangunan strategik Tentera Darat, Army 4NextG bagi mengukuhkan Angkatan Tentera Darat (ATM) yang lebih kompeten dan dinamik,” katanya.
Terdahulu, beliau hadir bagi menyempurnakan pemakaian pangkat Perdana Anggota Lain-Lain Pangkat Rejimen Sempadan sempena pengukuhan perjawatan Batalion Rejimen Sempadan (BRS) kepada BIS di Dewan Kinabalu, Kem Lok Kawi, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, TDM membina rumah keluarga di Sabah termasuk di Kem Lok Kawi, Kem Paradise di Kota Belud dan Kem Kabota di Tawau.
“Namun bagi pembinaan rumah keluarga untuk 8 RS masih dalam perancangan memandangkan kem ini masih lagi dalam status sewaan,
“Walau bagaimanapun, perancangan ini akan diteliti dengan segera demi menjaga kebajikan warga Rejimen Sempadan di Sabah,
“Saya percaya usaha ini akan memberi impak yang besar kepada warga Rejimen Sempadan serta mendorong mereka untuk terus komited mencapai misi dan visi Tentera Darat,” katanya lagi.
Sementara itu, berkenaan majlis pemakaian pangkat, Zamrose menjelaskan acara ini merupakan yang ketiga dan terakhir dalam siri pengisyiharan perbarisan pengukuhan BRS sebagai BIS yang dilaksanakan di 3 lokasi berbeza.
“Siri pertama pada 11 Ogos lalu di Markas Briges ke-30 Infantri Malaysia Kem Cowder, Kangar, Perlis dengan melibatkan 611 anggota lain-lain pangkat dan pasukan yang terlubat ialah 1 RS, 2 RS, 3 RS, 4 RS dan 5 RS,
“Siri kedua pula pada 27 Disember lalu di Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia, Kem Muara Tuang, Kota Samarahan, Sarawak dengan melibatkan seramai 201 anggota lain-lain pangkat dan pasukan yang terlubat ialah 6 RS, 7 RS, 9 RS dan 10 RS,
“Manakala, siri ketiga hari ini di Markas Divisyen kelima Infantri Malaysia, Kem Lok Kawi, dengan melibatkan seramai 61 anggota lain-lain pangkat dari 8 RS,” ujarnya.
Selain itu, beliau turut berkata, rancangan penubuhan Markas Briged ke-32 Infantri Malaysia (32 Bgd) bersama unit sokongan di Kalabakan akan diteruskan melalui pelan pembangunan keupayaan Army 4EXTG dengan meletakkan Batalion ke-8 Rejimen Sempadan di bawah perintahnya.
“Pada ketika ini, 8 RS diletakkan di bawah pemerintahan Markas Briged ke-13 Infantri Malaysia bersama dengan Batalion ke-26 Rejimen Askar Melayu Diraja,” jelasnya lagi.-airtimes.my