Home Semasa Pasukan teknikal WHO ke Hospital Medan Malaysia di Cox’s Bazar

Pasukan teknikal WHO ke Hospital Medan Malaysia di Cox’s Bazar

by Nurulhuda

COX’S BAZAR, 19 Feb – Pasukan teknikal Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di hantar ke Hospital Medan Malaysia (MFH), di Cox’s Bazar, Bangladesh sekali gus menjadikan MFH sebagai hospital rujukan di wilayah berkenaan.

Hospital medan itu mula beroperasi sejak Disember 2017 bagi menampung keperluan ribuan pelarian Rohingya yang melarikan diri ke Bangladesh.

Sejak 12 Februari lau, MFH turut menganggotai Kumpulan Penasihat Strategik (SAG) yang juga dianggotai WHO, Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) dan UNHCR.

Fasa pertama operasi MFH sebelum ini dikelolakan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum diambil alih Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada Mac 2018 melalui Ops Starlight 1.

MFH kemudian diteruskan melalui Ops Starlight 2, diketuai Kolonel Dr Mohd Arshil Moideen bermula Ogos 2018.

Dr Mohd Arshil berkata MFH juga mempengerusikan kumpulan kerja di Cox’s Bazar yang terdiri 18 hospital medan sejak Disember lalu.

Beliau berkata, sejak beroperasi MFH telah merawat lebih 56,000 pesakit terdiri pelarian Rohingya dan penduduk tempatan.

Ujarnya, secara purata MFH menerima 5,000 pesakit sebulan sejak Ops Starlight 2 mengambil alih operasi hospital medan itu, malah pernah mencecah 8,031 kes pada Oktober tahun lalu.

“Kenaikan mendadak itu antara lain didorong faktor peningkatan tahap perkhidmatan dengan adanya “bank darah”.

Kita juga mengendalikan kes yang lebih rumit termasuk pembedahan implan, kanser, bersalin, pembedahan limpa dan pergigian yang dibuka 24 jam pada Isnin dan Jumaat,” kata Dr Mohd Arshil seperti dilaporkan Bernama.

Ops Starlight 2 yang dianggotai 56 anggota dan pegawai ATM, termasuk tujuh pakar serta pegawai perubatan itu akan berakhir pada 28 Februari dan bakal diteruskan menerusi Ops Starlight 3.

 

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply