Home Semasa Tentera direman empat hari, cetak wang palsu RM4 ribu

Tentera direman empat hari, cetak wang palsu RM4 ribu

by Air Times News Network

SIBU, 18 Feb – Seorang anggota tentera berpangkat Koperal direman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 489D Kanun Keseksaan kerana mencetak wang palsu bernilai RM4,000.

Tertuduh mengambil jalan pintas dengan mencetak wang palsu itu dengan menggunakan mesin pencetak di pejabatnya disebabkan terdesak untuk menampung perbelanjaan majlis perkahwinannya.

Menurut laporan Bernama, kegiatan licik lelaki berusia 28 tahun itu terbongkar apabila membuat laporan polis dengan mendakwa menerima wang palsu itu dari sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank di sini, pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Jonathan Ringgit berkata suspek membuat laporan polis dengan harapan pihak bank dapat menukarkan wang palsu itu dengan wang tulen.

Namun, siasatan polis mendapati suspek telah menyerahkan wang berkenaan kepada tunangnya namun keaslian wang tersebut dicurigai dan suspek telah dinasihati untuk membuat laporan polis selepas mendakwa mengeluarkan wang itu dari mesin ATM, katanya.

“Suspek sebenarnya memang ada mengeluarkan wang RM4,000 dari mesin ATM bank berkenaan Jumaat lalu bagi kegunaan perbelanjaan perkahwinan tetapi menyerahkan wang yang disyaki palsu kepada tunangnya,” kata Jonathan.

Beliau berkata suspek yang bakal melangsungkan perkahwinan pada 30 Mac depan, ditahan  semalam dan polis turut merampas 25 keping not RM100 dan 30 keping RM50 serta seunit mesin pencetak.

Related Articles

Leave a Reply