Home Pertahanan dan Keselamatan Kertas putih pertahanan negara dibentang di Parlimen Julai ini – Panglima Angkatan Tentera

Kertas putih pertahanan negara dibentang di Parlimen Julai ini – Panglima Angkatan Tentera

by Air Times News Network

KOTA SAMARAHAN, 12 Feb – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu akan membentangkan Kertas Putih Pertahanan Negara di Parlimen Julai ini, kata Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal.

Kertas putih itu adalah dokumen yang mengandungi perkara dan langkah yang perlukan dilaksanakan dalam mempertahankan negara, katanya seperti yang dilaporkan Bernama.

Pembentangan kertas putih tersebut akan memberikan penerangan yang jelas mengenai peranan setiap agensi, organisasi dan rakyat dalam usaha menjaga keamanan negara, ujar beliau.

“Dengan adanya kertas tersebut, semua pihak termasuk ATM, Polis dan agensi lain yang berkaitan akan ada garis panduan yang jelas tentang tugas dan peranan masing- masing,” katanya dalam sidang media selepas lawatan kerja ke Pemerintahan Medan Timur di Kem Muara Tuang, di sini, semalam.

Turut hadir, Panglima Medan Timur, Leftenan Jeneral Datuk Wira Zamrose Mohd Zain.

Artikel berkaitan: Kertas Putih Pertahanan: Hanya bersifat umum, tiada rahsia didalamnya

Artikel berkaitan: Kertas Putih Pertahanan boleh diakses September ini – Menteri Pertahanan

Dalam perkembangan lain, Zulkifli berkata pasukan pertahanan bersama melibatkan tiga cabang perkhidmatan iaitu Tentera Darat, Tentera Udara dan Tentera Laut akan ditubuhkan bagi mengkoordinasikan arahan dan strategi dalam memperkukuhkan sistem pertahanan negara.

Zulkifli berkata pasukan gabungan itu akan ditempatkan di kawasan utara, selatan, pantai timur, Sabah dan Sarawak.

“Bagaimanapun, pengabungan tiga cabang tentera ini masih lagi dalam perbincangan kerana kita melihat kepada tahap kemampuan ekonomi semasa negara,” katanya.

Terdahulu, beliau menyampaikan Pingat Kedaulatan Negara kepada 120 anggota tentera yang berkhidmat semasa insiden pencerobohan di Lahad Datu pada tahun 2013 dan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada 50 veteran ATM yang berasal dari Sarawak.

Related Articles

Leave a Reply