Home Semasa Kes bunuh: Sarjan tentera, 7 Orang Asli mengaku tidak bersalah

Kes bunuh: Sarjan tentera, 7 Orang Asli mengaku tidak bersalah

by Air Times News Network

IPOH, 11 Feb – Seorang anggota tentera berpangkat Sarjan bersama tujuh lelaki Orang Asli mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini, atas kesalahan menyebabkan kematian Mohd Azrin Mohd Arif, enam tahun lalu.

Sarjan Hanny Itam, 34 bersama Norazizan Awang, 34, Lemay Uda Jamil, 34, Laies Pa Ngah, 36, Ramlan Dollah, 24, Jassiva Pandak, 29, Azwan Alim, 28 dan Irwan Ngah, 27, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara bersama di hadapan Hakim Datuk Julie Lack Abdullah.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa mencapai niat bersama menyebabkan kematian Mohd Azrin, 36, di Kampung Chenderung Kelubi, Tanjung Tualang, Kampung Gajah antara 12 tengah malam dan 3.30 pagi pada 5 April 2013.

Artikel Berkaitan: Kes bunuh, tentera antara 8 suspek ditahan

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 30 tahun dan juga dikenakan denda.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Naidatul Athirah Azman manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Julie Lack menasihatkan kesemua tertuduh untuk melantik peguam untuk mewakili masing-masing kerana tuduhan dihadapi berat dan sekiranya tidak mampu boleh berhubung dengan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) untuk mendapatkan bantuan.

Beliau kemudiannya menetapkan 11 Mac depan untuk sebutan semula kes dan tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin.

Related Articles

Leave a Reply