Home Semasa Timbalan Menteri Luar sila letak jawatan – NGO

Timbalan Menteri Luar sila letak jawatan – NGO

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 8 Feb – Presiden Sekretariat NGO-NGO Bergabung Malaysia (GERAM), Baha Taha hari ini mendesak agar Timbalan Menteri Luar, Senator Dato’ Marzuki Yahya untuk meletak jawatan.

“Kelulusan beliau (Marzuki) pun orang pertikaikan, macam mana nak selesaikan masalah dua hala, tiga hala dengan negara luar?” soal Baha semasa satu sidang media di hadapan Balai Polis Dang Wangi pada hari ini.

Beliau turut menggesa agar Datuk Marzuki untuk melepaskan jawatan jika tidak mampu untuk menjalankan tugas sebagai Timbalan Menteri Luar.

“Kalau tidak layak atau tidak berupaya sebagai Timbalan Menteri Luar, harap beliau letak jawatanlah supaya rakyat tidak mempertikaikan kerajaan Pakatan Harapan,” tegas Baha.

Sebelum itu, Presiden GERAM telah membuat satu laporan polis mengenai kejadian membakar Jalur Gemilang oleh pengasas United States Allied Freedom Fighters of the East (USAFFE), Elly Pamatong pada 19 dan 21 Januari lalu.

“Kami mendesak Kementerian Luar dan kerajaan Malaysia untuk bertegas dan menghantar notis bantahan kepada kerajaan Filipina agar tidak lagi berlaku pembantaian imej dan maruah negara.

“Tindakan membakar bendera Jalur Gemilang seolah-olah mereka cuba mencabar kedaulatan negara Malaysia yang tercinta,” kata Baha.

Pada akhir Januari lalu, sebuah laman media sosial dari Filipina telah menyiarkan satu video yang memaparkan Elly Pamatong yang bertindak membakar Jalur Gemilang secara terbuka serta melaung-laungkan ucapan anti-Malaysia.

Dalam ucapan yang sama, Elly turut mengisytiharkan perang terhadap Malaysia.

Tindakan Elly Pamatong telah mendapat bantahan dari rakyat dan kerajaan Malaysia, semalam.

 

 

Related Articles

Leave a Reply