Home SemasaGlobal Usaha damai diantara Mara Patani dan Kerajaan Thailand gagal

Usaha damai diantara Mara Patani dan Kerajaan Thailand gagal

by Noor Sheila Amin

Menurut laporan yang ditulis BERNAMA, Ketua panel dialog, Shukri Hari, berkata keputusan menggantung rundingan sehingga selepas selesai pilihan raya umum Thailand pada Mac adalah berikutan kekecewaan kumpulan itu terhadap sikap ditunjukkan ketua panel rundingan damai Thailand, Jeneral Udomchai Thammasarorat.

“Mara Patani dan pasukan dialog Thailand tiba di Kuala Lumpur pada 2 Februari lalu untuk mesyuarat pengenalan. Bagaimanapun, kami dimaklumkan bahawa ketua panel Thailand, Jeneral Udomchai tidak akan menghadiri mesyuarat itu. Beliau hanya akan menemui saya secara peribadi dan berasingan.

“Kami kecewa dengan sikap Jeneral Udomchai yang bercanggah dengan kenyataan terdahulunya bahawa beliau akan mengadakan dialog dan menghormati semua kumpulan dan pihak berkepentingan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama, hari ini.

Shukri berkata, Mara Patani menyifatkan keengganan Udomchai bertemu panel dialog kumpulan itu sebagai tidak dapat diterima dan disyaki ada ‘agenda tersembunyi’.

Beliau berkata, kumpulan itu juga menggesa kerajaan Thailand menggantikan Jeneral Udomchai dengan seseorang yang ‘lebih berwibawa’, dalam usaha mencari penyelesaian terhadap konflik di Pattani yang sudah berlarutan.

Udomchai baru-baru ini dilantik oleh Perdana Menteri Thailand, Jeneral Prayut Chan-o-cha untuk mengetuai rundingan damai selatan Thailand, menggantikan Jeneral Aksara Kerdphol yang sudah lama menjadi perunding.

Mesyuarat pengenalan yang sepatutnya berlangsung hari ini, diatur oleh fasilitator baharu Malaysia ke rundingan damai, iaitu bekas Ketua Polis Negara Malaysia, Tan Sri Abdul Rahim Noor yang dilantik oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mara Patani juga tidak menghadiri mesyuarat pengenalan hari ini, yang jika berlangsung seperti dijadualkan, akan menandakan mesyuarat rasmi pertama selepas beberapa bulan. Kumpulan ini adalah badan yang mewakili beberapa kumpulan selatan Thailand.

Related Articles

Leave a Reply