Home Semasa Hina Agong: Biadap, perlu tindakan tegas dan segera – MB Pahang

Hina Agong: Biadap, perlu tindakan tegas dan segera – MB Pahang

by Nurulhuda

KUANTAN, 2 Feb – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dan segera terhadap individu menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di media sosial baru-baru ini sehingga menimbulkan kemarahan orang ramai.

Wan Rosdy berkata Kerajaan Pahang memandang serius penghinaan yang bukan sahaja biadap pada tahap paling buruk malah pengkhianat kepada kedaulatan institusi Raja-Raja.

“Sehubungan itu, kerajaan negeri menggesa pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya mengambil tindakan tegas dan segera kepada si pelaku salah, sebagai tindak balas kepada laporan-laporan polis yang dibuat berkaitannya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, kira-kira 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan jabatan kerajaan termasuk Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook menggunakan nama Desmond Yongkor kerana menghina Sultan Abdullah menerusi laman sosial berkenaan.

Antara yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan itu adalah Badan Kebajikan Kerabat-Kerabat Negeri Pahang, Pertubuhan Ikatan Amal Islami Negeri Pahang, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia Negeri Pahang, Pejabat Agama Daerah Kuantan dan UMNO Bahagian Kuantan.

Mereka mendakwa seorang pengguna yang menggunakan nama Facebook ‘Desmond Yongkor’ bertindak kurang ajar dengan memuat naik kata-kata yang menghina Yang di-Pertuan Agong ketika Istiadat melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan, Khamis lalu.

Menurut Wan Rosdy, dalam hal berkenaan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diharap dapat turut membantu menjejaki pemilik akaun Facebook berkenaan serta menggunakan segala kuasa yang ada padanya untuk menghukum pelaku.

“Untuk jangka panjang pula, kerajaan negeri mencadangkan agar undang-undang khusus dan lebih berat sepertimana undang-undang Les Majeste di Thailand mula dibincang secara serius untuk akhirnya diperkenalkan di negara ini,” tegas Wan Rosdy.

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply