Home SemasaGlobal Singapura pilih pesawat stealth F-35 sebagai pesawat pejuang baharu

Singapura pilih pesawat stealth F-35 sebagai pesawat pejuang baharu

by M.Daim

SINGAPURA, 18 Jan – Menteri Pertahanan Singapura, Dr Ng Eng Hen hari ini mengumumkan kesediaan pihak Kementerian Pertahanan Singapura untuk berunding dengan Amerika Syarikat mengenai perolehan pesawat stealth F-35 untuk Tentera Udara Republik Singapura RSAF.

Perkara tersebut dinyatakan dalam akaun media sosial rasmi Menteri Pertahanan Singapura pada hari ini.

Pembelian pesawat tersebut adalah bagi menggantikan perkhidmatan jet pejuang F-16 yang menjadi salah satu tonggak utama kekuatan udara RSAF yang akan dibersarakan selepas tahun 2030.

Menteri Pertahanan Singapura menyatakan jet pejuang F-16 akan ditamatkan perkhidmatan dalam RSAF selepas tahun 2030.

“F-16 telah lama berkhidmat dalam RSAF semenjak tahun 1998 dan akan dibersarakan selepas tahun 2030,” kata Ng.

Menurut beliau, penamatan perkhidmatan F-16 tetap akan dilakukan walaupun program tingkat upaya telah dijalankan.

Ng menambah, perolehan F-35 adalah perlu kerana tempoh masa 10 tahun adalah ‘tidak lama’dan Singapura perlu untuk melakukan program penggantian di samping membentuk jaringan sokongan logistik serta latihan juruterbang.

“Agensi Sains dan Teknologi Pertahanan (DSTA) dan RSAF telah selesai melakukan penilaian teknikal untuk menggantikan F-16.

“Penilaian tersebut memakan masa lebih daripada 5 tahun dengan melibatkan penilaian yang teliti. Pasukan penilaian merumuskan F-35 mungkin pesawat yang sesuai (untuk menggantikan F-16),” jelas Menteri Pertahanan Singapura.

Beliau menambah, agensi kerajaan Singapura akan melakukan rundingan dengan Amerika Syarikat sebelum membuat keputusan yang tetap.

“Kita akan beli dalam bilangan yang kecil sebagai permulaan untuk menilai keupayaan F-35 sebelum melakukan perolehan secara besar-besaran.

“Namun, kita perlu melakukan perancangan yang lebih rapi  dan bersedia untuk menggantikan F-16,” tegas Ng dalam kenyataan beliau.

Jet pejuang stealth F-35 merupakan jet pejuang generasi ke-5 keluaran Lockheed Martin dan mepunyai 3 varian utama.

Related Articles

Leave a Reply