Home Semasa Fahami sejarah supaya tidak ulangi kesalahan lama – Tun M

Fahami sejarah supaya tidak ulangi kesalahan lama – Tun M

by Nurulhuda

PUTRAJAYA, 14 Jan – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata rakyat perlu fahami sejarah supaya kesilapan lampau tidak diulangi dalam memastikan keamanan negara terus terpelihara, yang membolehkan kemajuan dikecapi dan kekayaan negara diagihkan secara adil dan saksama.

Tun Mahathir berkata jika tiga kaum utama di Malaysia bersama kaum-kaum di Sabah dan Sarawak dapat bertaut untuk ‘bekerja’, ‘tinggal’ dan ‘bermain’ bersama, negara akan lebih maju.

“Selagi kita ingat sejarah kita dan liku-liku yang dijalani negara kita, maka negara kita akan terus aman. Apabila ia aman, kemajuan dapat dicapai dan kekayaan diagih antara semua kaum,” kata Perdana Menteri semasa Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.

Perhimpunan bulanan tersebut turut disiarkan secara langsung di portal Pejabat Perdana Menteri.

Dr Mahathir turut mengingatkan bahawa rusuhan atas faktor perkauman seperti yang berlaku pada tahun 1969 tidak akan membawa apa-apa faedah kepada sesiapapun.

“Malaysia bertuah kerana pemimpin semua kaum bersetuju untuk bersama-sama membangunkan negara selepas mencapai kemerdekaan berbanding negara lain yang tidak mahu menerima kehadiran kaum dari negara lain.

Tun M berkata di sesetengah negara mereka yang menganggap diri mereka sebagai orang asal negara itu, tidak senang hati dengan kaum lain yang dikatakan kaum pendatang dan apabila kemerdekaan dicapai, kaum yang bukan terdiri daripada anak watan dihalau keluar.

Di sesetengah negara yang tidak mempunyai masalah perkauman pula, perpisahan antara golongan miskin dan kaya yang begitu ketara juga telah mencetuskan perbalahan sehingga berlaku rusuhan, katanya.

“Kita tak mahu negara ternampak terlalu kaya tetapi kekayaan negara tidak diagihkan secara adil kepada semua kaum,” katanya.

Perdana Menteri berkata itulah sebabnya kerajaan menumpukan usaha untuk membasmi kemiskinan terutamanya dalam kalangan bumiputera yang ramai hidup dalam kemiskinan di luar bandar berbanding mereka yang tinggal di bandar dengan kemudahan serba mencukupi.

“Menjadi tugas kita untuk menentukan negara dapat mengagihkan kekayaan secara sama rata, atau pada satu tahap yang boleh diterima semua masyarakat,” katanya.

 

 

Related Articles

Leave a Reply