Home Politik PRK Cameron Highlands: Pertandingan empat penjuru

PRK Cameron Highlands: Pertandingan empat penjuru

by Air Times News Network

TANAH RATA, 12 Jan – Pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan(PH) dan Barisan Nasional(BN) serta dua calon bebas.

Pegawai Pengurus Pilihanraya PRK Cameron Highlands, Datuk Ishak Md Napis telah mengumumkan selepas tamat proses penamaan calon di di Dewan Gemilang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad Shah di sini, hari ini.

Empat calon yang akan bertanding membabitkan calon Pakatan Harapan (PH); M Manogaran, Calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd Noor serta dua calon bebas iaitu Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 26 Januari ini sebagai hari pengundian dan mengundi awal pada 22 Januari bagi PRK Parlimen Cameron Highlands, Pahang.

Manakala tempoh berkempen ditetapkan adalah 14 hari, bermula pada hari penamaan calon sehingga pukul 11.59 malam 25 Jan 2019.

Parlimen Cameron Highlands mempunyai dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Tanah Rata dan Jelai dengan jumlah keseluruhan pengundi yang layak memilih pada PRK kali ini seramai 32,009 orang termasuk 247 pengundi awal, 12 pengundi tidak hadir dan 385 pengundi kurang upaya.

PRK Cameron Highlands diadakan semula selepas Parlimen dimenangi BN menerusi calonnya, Datuk C Sivarraajh pada PRU-14, diisytiharkan kosong oleh Mahkamah Pilihan Raya pada 30 November lalu.

Sivarraajh memenangi kerusi Parlimen berkenaan yang membabitkan saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi.

Sivarraajh memperoleh 10,307 menewaskan M Manogaran dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) (9,710 undi); Wan Mahadir Wan Mahmud dari PAS (3,587 undi); Mohd Tahir Kassim dari Berjasa (81 undi) dan B Suresh Kumar dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) (680 undi).

Manogaran, 59, memfailkan petisyen pilihan raya pada 4 Jun lalu, memohon pengisytiharan keputusan PRU-14 untuk kerusi Parlimen itu terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Related Articles

Leave a Reply