Home Semasa Kerajaan akan jelaskan takrif menghina Agong kepada polis – Dr Mahathir

Kerajaan akan jelaskan takrif menghina Agong kepada polis – Dr Mahathir

by Air Times News Network

PUTRAJAYA, 10 Jan – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan menjelaskan takrifan mengenai sesuatu perbuatan atau kenyataan yang boleh dianggap menghina sebagai panduan kepada agensi penguat kuasa undang-undang.

Ketika mengulas isu penahanan tiga individu di bawah Akta Hasutan 1948 berhubung dakwaan mengeluarkan kenyataan berunsur hinaan terhadap Sultan Muhammad V, Tun Mahathir berkata definisi sebenar perbuatan atau perkataan menghina itu perlu untuk penguatkuasaan pada masa akan datang.

“Pada masa ini pihak penguatkuasa tidak faham apa yang dianggap sebagai menghina, jadi kita perlu ‘spell out’ (nyatakan) apa perbuatan atau perkataan yang dianggap sebagai menghina,” kata Perdana Menteri seperti yang dilaporkan oleh Bernama pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR), di sini hari ini.

Ditanya mengenai undang-undang baharu yang akan digubal untuk melindungi kesucian institusi diraja negara daripada dihina, seperti diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong hari ini, Dr Mahathir secara ringkas berkata kerajaan akan melihat definisi menghina yang lebih tepat.

Penahanan tiga individu terbabit semalam bagi membantu siasatan terhadap dakwaan mengeluarkan kenyataan berunsur hinaan di media sosial berkaitan isu Sultan Muhammad V meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15, mendapat kritikan pihak-pihak tertentu.

Dr Mahathir berkata Malaysia kini mengamalkan kebebasan bersuara di mana individu yang bercakap perkara yang berfakta tidak boleh disalahkan.

“Sebaliknya kalau kita tutup mulut semua orang sehingga apabila jenayah berlaku pun kita tak boleh sebut, akan berlaku ketidakadilan dalam negara kita,” katanya.

Ditanya mengenai agendanya menghadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene yang dijadualkan petang ini, Dr Mahathir berkata: “Saya nak jumpa Baginda, itu saja,”.

 

Related Articles

Leave a Reply