Home Semasa Dua pesara Rejimen Askar Melayu Diraja sertai DAP

Dua pesara Rejimen Askar Melayu Diraja sertai DAP

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 9 Jan – Dua pesara tentera yang berpangkat Leftenan Kolonel dari Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) semalam menyerahkan borang keahlian parti Democratic Action Party (DAP).

Leftenan Kolonel (B) Ahmad Ghazali Abu Hassan dan Leftenan Kolonel (B) Mohamad Azudin Othman Fuad menyerahkan borang keahlian tersebut kepada Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang semasa kunjugan mereka di Ibu Pejabat DAP di sini.

Kedua-dua mereka sebelum ini telah ditauliahkan di dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 1974.

Memetik laporan Roketkini, pertemuan hampir sejam tersebut antara lain membincangkan isu politik semasa dan mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

Pada masa sama mereka berdua berikrar membantu kempen calon Pakatan Harapan pada PRK berkenaan.

Dalam temu bual ringkas, Ahmad Ghazali yang tidak pernah menyertai mana-mana parti berkata, beliau memilih DAP kerana kecekapan yang ditonjolkan pemimpin parti berkenaan dalam menjalankan tanggungjawab.

“Dalam hal kecekapan, tiada (parti) yang boleh tandingi DAP. Ia berpegang teguh kepada perjuangannya.

“DAP boleh menjadi teras kepada Pakatan Harapan,” katanya yang juga bekas pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Mohamad Azudin pula menyifatkan DAP sebagai parti yang telus, berintegriti dan bebas rasuah.

“Siapa yang terlibat rasuah dalam DAP? Berikan saya nama kalau ada.

“Dia cakap pasal (Lim) Guan Eng (Setiausaha Agung DAP) punya rumah. Rumah selekeh itu, kamu tengok rumah (pemimpin) lain, macam istana,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply