Home Semasa Larangan merokok: Bukan menghukum, tapi mendidik – Kementerian Kesihatan

Larangan merokok: Bukan menghukum, tapi mendidik – Kementerian Kesihatan

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 1 Jan – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, Kementerian Kesihatan akan memperluaskan pewartaan kawasan larangan merokok dalam tempoh terdekat, membabitkan premis kedai dobi dan hotel di negara ini.

Menurut Dzulkefly, larangan yang berkuat kuasa hari ini hanya tertakluk kepada sembilan jenis premis di tempat awam.

Hasil maklum balas pelbagai pihak, katanya, kementerian mengakui wujud keperluan mendesak untuk memperluaskan pewartaan larangan itu kerana tempat awam seperti kedai dobi dan hotel lazimnya dibelenggu masalah asap rokok.

“Tinjauan mendapati ada yang masih merokok di situ (kedai dobi dan hotel), justeru wujud kebimbangan mengenai masalah kesihatan dalam kalangan perokok pasif.

“Oleh itu, kita akan bincang untuk tambah (larangan merokok di premis awam berkaitan) dari semasa ke semasa,” tegasnya lagi.

Bercakap kepada pemberita selepas program tinjauan beberapa kepada makan di Bandar Seri Permaisuri, Cheras, Dzulkefly berkata tindakan hukuman hanya akan dikuatkuasakan selepas enam bulan.

Pengumuman bagi tujuan mendidik itu antara lain menyarankan orang ramai supaya akur dengan larangan merokok yang berkuat kuasa mulai hari ini, selain menguar-uarkan denda dan hukuman penjara terhadap pihak berkaitan jika mereka gagal mematuhi peraturan terbabit.

“Saya tahu ada orang yang kata ‘mari kita buat (denda) sekarang’ tapi kita di kementerian mempunyai piawai prosedur operasi (SOP).

“Bagi kempen ini kita membenarkan enam bulan pertama untuk mendidik orang awam. Selepas itu, tiada lagi alasan,” kata Dzulkefly yang diiringi pegawai Kementerian Kesihatan dari Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan.

“Kita nak beri orang ramai faham bahawa kementerian bukan nak menghukum, sebaliknya lebih kepada mendidik supaya pelaksanaan larangan merokok ini berkesan dan berupaya dilaksanaka,” tegas Dzulkefly.

Related Articles

Leave a Reply