Home Semasa Pergaduhan di R&R Gambang: 7 lelaki didakwa

Pergaduhan di R&R Gambang: 7 lelaki didakwa

by Air Times News Network

KUANTAN, 31 Dis – Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda RM2,000 terhadap enam lelaki selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memukul pemandu bas di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gambang arah barat, di sini, minggu lalu.

Tertuduh masing-masing Ahmad Mohamad Noor, 44; Muhamad Isamrudin Dollah, 34; Shahrizan Mohd Sham, 36; Haire Dollah, 40; Ahmad Kamaruddin Mohamad Noor, 41; dan Mohd Hapis Sukri Dollah, 36, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurunaim Abdullah.

Kesemua tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan terlibat dalam kumpulan yang menyalahi undang-undang dengan tujuan mahu mendatangkan kecederaan kepada pemandu bas Mohd Saifullakmal Abdul Rasid, 32, antara 1.30 hingga 2 pagi, 24 Dis lalu di kawasan tempat letak kenderaan R&R Gambang arah Barat di sini.

Bagi kesalahan itu, mereka yang ditangkap sehari selepas kejadian, didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa disoal Nurunaim, Ahmad mewakili semua tertuduh berkata kesalahan itu berlaku tanpa sengaja selepas dimaklumkan terdapat perselisihan faham di antara pemandu bas yang sering makan di kedai yang diusahakan adiknya.

Nurunaim memerintahkan semua tertuduh menjelaskan denda berjumlah RM2,000 setiap seorang atau berdepan hukuman penjara selama dua bulan, jika gagal berbuat demikian.

Pada prosiding berasingan, Mohd Saifullakmal mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mencederakan Shahril Helmi Mohd Radzuan dan Mohamad Irwan Shah Azman, kedua-duanya berusia 17 tahun, yang bekerja di kedai makan di R&R tersebut.

Mohd Saifullakmal yang berasal dari Marang, Terengganu didakwa mencederakan mangsa dengan cara memukul belakang leher dan mencekik mereka di gerai nombor 6, R&R Gambang arah Timur pada 1.30 pagi, 24 Dis lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau dengan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dia yang tidak diwakili peguam merayu supaya jaminan RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan yang ditawarkan pihak pendakwaan dikurangkan atas alasan dia merupakan penanggung tunggal keluarga.

Nurunaim kemudian memberikan jaminan RM3,000 bagi setiap pertuduhan dikenakan ke atas tertuduh dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 14 Januari ini.

 

 

Related Articles

Leave a Reply