Home PolitikPakatan Harapan “Pas akan jadi pembangkang selama-lamanya” – Muhyiddin

“Pas akan jadi pembangkang selama-lamanya” – Muhyiddin

by Air Times News Network

PETALING JAYA, 25 Dis – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin, membayangkan PAS hanya akan menjadi parti pembangkang buat selama-lamanya.

Muhyiddin menjelaskan kenyataan yang dibuat Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah itu berbaur cemburu dan iri hati dengan kejayaan PH.

“Dulu kita pernah runding dengan mereka tetapi mereka dakwa perjuangan mereka, perjuangan Islam.

“Tetapi perjuangan kita (PH) lebih Islam daripada mereka daripada segi menguruskan ekonomi lebih baik, menolak rasuah dan membina masa depan lebih cerah. Semuanya Islam.”

Sebuah akhbar pada Isnin melaporkan Mohd Amar berkata PH di bawah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hanya akan bertahan cuma lima tahun sahaja di Putrajaya ekoran kurangnya persefahaman dalam kalangan komponen parti.

Tegas Muhyiddin, PH mempunyai kekuatan yang jauh lebih utuh berbanding dengan pembangkang, terutamanya UMNO yang kini sudah berpecah.

“Di mana UMNO sekarang? Di mana Barisan Nasional sekarang? Tinggal nama sahaja. Daripada berpuluh (parti komponen), dua, tiga sahaja yang tinggal. Itupun tidak bermaya,” katanya di ibu pejabat Bersatu pada Isnin.

“Daripada 13 parti komponen, sekarang hanya tinggal berapa saja…yang ada pun tak bermaya, tak ada kedudukan dan dah berpecah belah.

“Kalau saki-baki UMNO dicampur dengan PAS nak dibandingkan dengan kedudukan PH yang sudah berkuasa, PAS tidak mungkin akan menang. PH akan pertahankannya dengan sokongan rakyat,” katanya.

 

Related Articles

Leave a Reply