Home Pertahanan dan Keselamatan Kedaulatan negara adalah tanggungjawab bersama – Panglima Tentera Darat

Kedaulatan negara adalah tanggungjawab bersama – Panglima Tentera Darat

by Air Times News Network

PORT DICKSON, 20 Dis – Panglima Tentera Darat, Jeneral Dato’ Seri Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi hari ini menyatakan kerjasama antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan agensi-agensi lain termasuk kerjasama dari rakyat Malaysia mampu memperkukuhkan tahap keselamatan negara.

Menurut beliau, rakyat boleh memainkan peranan tersendiri dalam menjaga pertahanan dan keselamatan negara.

Beliau menyatakan perkara tersebut satu sidang media selepas Majlis Pelancaran Buku “Dari Meja Panglima Tentera Darat” dan Buku Direktif Panglima Tentera Darat di Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat, Port Dickson.

“Rakyat boleh menjadi mata dan telinga kepada pasukan tentera dengan menyampaikan maklumat yang tepat melalui saluran yang betul.

“Rakyat juga perlu bertanggungjawab atas soal keselamatan negara dan bukan sahaja terletak di bahu pasukan keselamatan semata-mata kerana keselamatan adalah tanggungjawab bersama,” jelas Hasbullah.

Sebelum itu, Panglima Tentera Darat telah melancarkan dua buah buku; Buku Direktif Panglima Tentera Darat Bagi Tahun 2019-2022 dan Buku “Dari Meja Panglima Tentera Darat”.

Kedua-dua buku ini dilancarkan bersempena 100 hari pemerintahan Panglima Tentera Darat Ke-27.

Buku Direktif Panglima Tentera Darat 2019-2022

Buku Direktif Panglima Tentera Darat 2019-2022 adalah panduan strategik yang menggariskan tindakan untuk mencapai matlamat Tentera Darat.

Direktif Panglima Tentera Darat 2019-2022 menekankan peranan dan tugas Tentera Darat di peringkat Nasional, ATM dan TD.

Direktif ini merupakan kesinambungan daripada tujuh Direktif Panglima Tentera Darat Tahun 2015-2018 yang bertujuan memberi garis panduan terhadap pelbagai aspek pengurusan Tentera Darat Malaysia termasuk aspek Pengurusan Operasi, Latihan dan Sumber Manusia.

Direktif Pengurusan ini merupakan satu garis panduan serta rujukan kepada empat tonggak utama yang dinyatakan dalam Perintah Ulung Panglima Angkatan Tentera iaitu Angkatan yang Profesional, Ketumbukan yang Siap Sedia, Keutuhan Organisasi dan memperkasakan Kualiti Hidup.

Selain itu, panduan ini juga bertumpu kepada empat tonggak yang terkandung dalam Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-27.

Buku “Dari Meja Panglima Tentera Darat”

Buku “Dari Meja Panglima Tentera Darat” merupakan kompilasi siri penulisan oleh Panglima Tentera Darat yang mengikut tema seperti lkrar Kesatria, Wasiat Raja-Raja Melayu, Rukun Negara, Kepimpinan, Ketuhanan, dan Latihan.

Peringatan terhadap gejala negatif seperti merokok dan rasuah turut digarapkan dalam bentuk tulisan ringkas yang mudah difahami oleh semua warga Tentera Darat.

Penulisan dalam buku ini turut memberikan penekanan kepada 4 Direktif utama dalam Perintah Ulung Tentera Darat Ke-27 iaitu Amal, Sistem Pemerintahan Regimental, Adaptasi dan Siap Siaga (ASAS).

 

Related Articles

Leave a Reply